Dendam DAP Pada PAS Tak Pernah Padam, Kata Mustafa Ali

Perseteruan PAS-DAP terus berpanjangan walaupun mereka tidak lagi menjadi parti sekutu.

 

Pengarah Pilihan Raya PAS Mustafa Ali hari ini berkata serangan Lim Kit Siang terhadap PAS menggambarkan dendam DAP yang tidak pernah padam.

 
Malah, kata Mustafa, PAS kini dianggap Lim sebagai musuh nombor satu DAP.

 

“Seorang pemimpin politik yang rasional betapa tinggi pun kemarahannya terhadap sesuatu mesti menyemak dulu fakta sebelum melontarkannya.

 

“Kalau tidak, ia akan mendedahkan kejahilan diri sendiri dan sikap suka memfitnah terhadap orang lain,” kata Mustafa.

 

Lim dalam kenyataannya sebelum ini membangkitkan beberapa mitos dalam politik yang perlu ditolak untuk menjadikan Malaysia model negara yang bersatu-padu, harmoni, sederhana dan majmuk.

 

Antara mitos itu, kata Lim, kenyataan “PAS itu Islam, Islam itu PAS”.

 

Mengulas perkara itu, Mustafa mempersoalkan dari mana sumber Lim.

 

“Apa yang dinyatakan oleh pimpinan PAS ialah PAS adalah satu-satunya wadah Islam yang memperjuangkan Islam yang syumul yang mencakupi politik dakwah, ekonomi tarbiah, pendidikan perundangan dan kemasyarakatan serta prinsip-prinsip keadilan yang menyeluruh,” katanya.

 

Beliau justeru menasihatkan Lim supaya lebih berhati-hati dalam kenyataannya yang berkait dengan Islam.

 

“Janganlah beliau merasakan beliau sudah memahami Islam sesudah menemui beberapa orang tokoh Islam dunia,” sindir Mustafa. – Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.