Bai’ah Talak Isteri Memang Perlu Dimansuh – Penganalisis

KOTA BHARU – Bai’ah taklik yang dilafazkan wakil-wakil rakyat Kelantan sememangnya perlu dimansuhkan, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Ismail Sualman.

 

Menurutnya, pelbagai cara lain boleh digunakan untuk mana-mana parti ‘mengikat’ ahli-ahlinya untuk terus menyokong perjuangan yang menjadi dasar.

 

“Kalau Pas betul-betul mahu mansuhkan, ia perkara yang baguslah, dan sememangnya perlu dilakukan.

 

“Bagi saya bai’ah parti ini tidak perlu sehingga melibatkan hal-hal peribadi iaitu wujudnya talak kepada isteri dan sebagainya. Banyak lagi cara lain untuk setia kepada pemimpin dan perjuangan parti,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Beliau diminta mengulas dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak menolak kemungkinan untuk memansuhkan penggunaan lafaz bai’ah taklik cerai terhadap wakil rakyat negeri ini untuk PRU 14 akan datang.

 

Menurutnya, sepatutnya taklik terhadap isteri ini tidak boleh berlaku kerana perjuangan parti itu sendiri boleh dianggap tersasar kerana sanggup melibatkan pertaruhan hubungan kekeluargaan yang dibina.

 

Beliau berkata, kepelbagaian boleh digunakan dalam berpolitik namun untuk skop tersebut, cukup memadai jika hanya menggunakan sumpah ikrar taat setia tanpa mengorbankan mana-mana pihak lain yang tidak berkaitan.

 

“Politik sekarang lain, lompat sana, lompat sini, sudah jadi perkara biasa. Tetapi untuk menyatakan kesetiaan, cukup sekadar ikrar sahaja.

 

“Bagi saya, jika benar Pas mahu hapuskan, maka inilah contoh teladan dan iktibar terbaik kepada semua parti politik lain di negara kita. Jangan gadaikan orang lain semata-mata untuk kepentingan dan kelangsungan politik yang tidak menentu,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.