Awasi Makanan, Minuman Elak Wabak Demam Kepialu

KUALA LUMPUR – “Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan perhatian tinggi terhadap tahap kebersihan makanan dan minuman yang diambil bagi mengelakkan jangkitan”.

 

Itu kata kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah susulan penularan wabak demam kepialu di beberapa kawasan di ibu negara.

 

Sejak minggu pertama Ogos lalu, 32 kes dicatatkan dengan Titiwangsa mencatatkan bilangan kes tertinggi sebanyak 16 kes, Kepong (8 kes), Lembah Pantai (4 kes) dan Cheras (4 kes).

 

Menurutnya, Kementerian Kesihatan mula mengesan kes demam kepialu apabila menerima tujuh notifikasi membabitkan buruh binaan di Cheras yang bekerja berhampiran pusat bandar pada minggu pertama Ogos.

 

“Hasil siasatan di lapangan masih belum dapat merumuskan punca jangkitan serta jenis makanan yang dimakan kerana tiada persamaan di antara kes-kes terbabit,” katanya memaklumkan mengenai penyiasatan epidemiologi yang dijalankan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL).

 

Menurutnya, 37 orang yang berhubungan dengan pesakit terdiri daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan pengendali makanan telah disaring manakala 24 buah premis makanan diperiksa.

 

Sejumlah 79 sampel najis dan empat sampel bekalan air minuman diambil bagi mengesan kehadiran bakteria itu namun belum ada sampel yang dilaporkan positif Salmonella typhii.

 

“Kejadian demam kepialu bukanlah keadaan luar biasa di Kuala Lumpur, dengan bilangan kes sejak lima tahun lalu adalah di antara tujuh hingga 35 kes setahun.

 

Demam kepialu adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhii yang mencemari makanan atau minuman dan mangsa akan mengalami gejala di antara satu hingga tiga minggu.

 

Gejala utama adalah keletihan, demam, sakit perut, sembelit dan sakit kepala serta boleh juga mengalami cirit-birit dan muntah.

 

Jika tidak dirawat, gejala itu boleh berterusan sehingga beberapa minggu dan menyebabkan komplikasi seperti perdarahan dan kebocoran saluran penghadaman, keradangan otak dan psikosis. – Bnbbc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.