Zul Ariffin Jawab Dakwaan Mabuk Dan Berfoya-Foya

Petaling Jaya – Aktor kacak, Zul Ariffin menjawab dakwaan kononnya dia berfoya-foya dan berada dalam keadaan mabuk dengan seorang wanita ketika menjalani penggambaran drama bersiri terbaharunya berjudul Istiqarah Cinta di Pulau Langkawi baru-baru ini.

Zul berkata, wanita yang dikaitkan bersamanya di sebuah kelab sehingga gambar mereka tersebar adalah peminatnya dan Zul menegaskan bahawa dia langsung tidak mengenali wanita berkenaan.

“Ketika kejadian saya sedang menonton persembahan live band di sebuah kelab dan disapa oleh wanita berkenaan untuk mengambil gambar dan saya sekadar memenuhi permintaannya.

“Selepas gambar itu tersebar saya sedar ia satu kesilapan besar kerana cara itu agak berlebihan sehingga menimbulkan salah faham di kalangan peminat,” katanya.

Zul turut menegaskan, dia tidak menyalahkan wanita berkenaan untuk memuat naik foto berkenaan di laman sosial, tetapi sebaliknya dia menganggap ada pihak cuba memutarbelitkan cerita sebenar disebalik gambar tersebut.

Menurut Zul, dia akan lebih berhati-hati sekiranya ingin bergambar dengan peminat wanita supaya tidak timbul salah faham dan menjadi buah mulut orang yang beranggapan nagetif terhadapnya.

“Kadang-kadang rasa serba salah untuk menolak permintaan peminat untuk bergambar atau menegur cara mereka kerana bimbang mereka berkecil hati.

“Namun kejadian itu memberi pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati apabila bergambar dengan peminat wanita selepas ini,” jelasnya.

Zul kesal ada pihak yang membuat andaian kononnya dia seolah-olah melarikan diri daripada media apabila isu itu timbul, Zul berkata, dia tidak berniat berbuat demikian kerana lebih selesa menjawab secara berhadapan dengan pihak wartawan.

“Saya bukan lari tapi tunggu masa sesuai dapat berjumpa semua media untuk jelaskan situasi sebenar kerana lebih mudah menjelaskan secara berhadapan.

“Tetapi dua orang pertama yang tahu situasi sebenar adalah ibu saya dan Gayatri (kekasihnya),” ujar Zul.

Zul yang ditemui di majlis pengumuman pengacara Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) berkata, dia terkejut apabila dipilih sebagai hos bersama ASK 2014 bergandingan dengan tujuh lagi selebriti lain iaitu Fahrin Ahmad, Amyra Rosli, Nabila Huda, Shukri Yahya, Tasha Shilla, Fiza Sabjahan dan Fara Fauzana.

Walau bagaimanapun, Zul merasakan dia tidak mempunyai bakat sebagai pengacara namun dia tetap menerima tawaran tersebut kerana menganggap ia sebagai satu pendedahan kepadanya sebagai pelakon.

“Saya sendiri kurang pasti mengapa pihak TV3 memilih saya tetapi saya melihat ia sebagai satu peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Tetapi untuk meneruskan karier dalam bidang pengacaraan mungkin tidak kerana saya sebenarnya gemuruh apabila perlu bercakap memandang kamera,” katanya mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.