Mula-Mula Arak Dan Pegang Anjing, Lepas Ini Buat Kempen Babi – Ustaz Kazim

Kuala Lumpur – Pendakwah bebas, Ustaz Mohd Kazim Elias menyifatkan penganjuran ‘Kempen Saya Mahu Sentuh Anjing’ adalah agenda halus untuk meliberalkan agama Islam.

Menurut kenyataan menerusi laman Facebook, beliau berkata kempen sebegini merupakan jarum halus yang dicucuk kepada umat Islam agar berfahaman lebih liberal.

“Ianya satu gerakan yang cukup halus untuk menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan dan dimulakan dengan satu kempen secara kecil-kecilan yang akhirnya akan merubah dan menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya,” jelasnya.

Katanya umat Islam di negara ini harus berhati-hati dengan setiap agenda yang dianjurkan bagi menjaga akidah masing-masing.

Jelasnya, aktiviti sebegini harus dipandang serius memandangkan ianya melibatkan urusan ibadat seharian.

“Tidaklah salah pegang anjing, tetapi apa sebabnya sampai buat kempen?.

“Berhati-hatilah dengan kempen sebegini, lepas kempen arak muncul pula kempen anjing lepas ini apa pula?” soalnya.

Tambah beliau, anjing tergolong dalam binatang mughalazah dan sama seperti babi.

“Tetapi nak dijadikan sebagai binatang peliharaan seperti kucing ayam dan lain-lain tidaklah boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan urusan ibadat seharian.

“Jangan selepas ini buat kempen babi dengan alasan bahawa babi sekarang sudah bersih dah diternak dalam ‘aircond’ dan mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabangsa,” ujarnya.

Namun katanya tidak salah jika anjing dijadikan binatang untuk menjaga kebun bagi menjaga keselamatan rumah.

“Membela anjing untuk jaga kebun bagi menjaga keselamatan rumah dan mengesan barang jenayah tidaklah dilarang malah harus dalam Islam,” jelasnya.

Sementara itu Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut menasihatkan umat Islam tidak mencipta budaya bercanggah dengan Islam dan mempunyai unsur menghina ulama.

Beliau menegaskan haram menyentuh anjing dengan sengaja kerana ia najis mughallazah yang dipandang serius oleh mazhab Shafie dan Hanbali.

“Perkara ini dilarang kerana tiga perkara iaitu agama, kesihatan dan budaya yang bercanggah dengan Islam.

“Perlu diingat di Malaysia kita berpegang teguh kepada mazhab Shafie.

“Jangan cuba mencipta budaya yang bercanggah dengan Islam dan mazhab Shafie, apatah lagi mempunyai unsur menghina ulama di negara ini.

“Usahlah menjadi hero dengan menimbulkan pendapat terpencil yang tidak boleh digunapakai.

“Alasan fuqaha (ahli fekah) mengenai membela anjing cukup jelas iaitu ia akan menakutkan tetamu, berkurangan pahala satu qirot (satu qirot bersamaan bukit Uhud di Madinah), malaikat rahmat tidak memasuki kediaman dan tabiat anjing suka menjilat.

“Imam al-Nawawi menyatakan tiga alasan membolehkan membela anjing iaitu menjaga tanaman, ternakan dan berburu,” katanya.

Seterusnya Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Othman pula menggesa agar pihak berkuasa agama memberi perhatian dan menyiasat tujuan penganjuran program itu yang dianggapnya bertentangan dengan pegangan umat Islam.

Beliau berkata umat Islam tidak seharusnya mengambil mudah mengenai perkara itu dan merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu jika ingin membuat sesuatu yang bercanggah dengan mazhab Shafie.

Pengguna lama Facebook dan Twitter juga mempersoalkan rasional penganjuran pesta tersebut yang membabitkan kehadiran umat Islam dan mempersoalkan di mana penguatkuasaan undang-undang syariah oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang hanya membiarkan pesta ini berlangsung.

Sebelum acara bermula, sebuah forum memberi peluang kepada orang ramai membangkitkan kemusykilan kepada seorang ustaz, seorang pemandu teksi berbangsa Melayu yang berpengalaman mengendalikan anjing serta doktor haiwan.

Orang ramai turut diberi taklimat dan diberi tunjuk ajar cara melakukan samak yang betul sekiranya ada yang was-was atau memegang anjing dalam keadaan basah.

 

Baca: MAIS Sokong Penganjuran ‘I Want To Touch A Dog’

4 thoughts on “Mula-Mula Arak Dan Pegang Anjing, Lepas Ini Buat Kempen Babi – Ustaz Kazim

  • October 21, 2014 at 10:10 am
    Permalink

    Bismillahirrahmanirrahim. .

    Assalamualaikum..

    Kepada admin yang menyebarkan gambar ini..saya ucapkan tahniah jika post ini dapat meningkatkan bilangan likers anda..

    Saya merupakan seorang Doktor Veterinar. Gambar tersebut merupakan gambar ketika saya menjalani latihan praktikal kira2 8 tahun lalu. Dan gambar2 ini telah pun tersebar luas suatu masa dahulu dan sepanjang 8 tahun ini.

    Di sini saya sertakan kronologinya..

    Gambar diambil hanya untuk simpanan peribadi. Malangnya ada pihak tak bertanggungjawab telah menyebarkan gambar2 ini tanpa kebenaran dan usul periksa.

    Selama 8 tahun saya hanya berdiam diri dengan tohmahan, cacian, fitnah, seperti murtad, penghinaan kepada ibu dan ayah saya kerana telah membesarkan saya dan sebagainya.. kerana saya menganggap kalian mungkin tidak mengetahui.
    Kursus ini merupakan salah satu subjek wajib ketika kami belajar dalam jurusan Doktor Perubatan Veterinar.

    Sedia maklum, veterinar merangkumi semua jenis haiwan untuk pembelajaran dan kajian seperti penyakit2 yang mungkin boleh menjangkiti manusia.

    Cara2 menyucikan dari najis berat juga di ajar dan diprakktikan ketika di Universiti. Jadi, saya harap kalian tidak pertikaikan tentang adakah saya sertu atau tidak selepas melakukan tugas saya.

    selama 8 tahun saya bersabar dengan segala celaan dan komen2 yang tidak elok.

    Tetapi, mungkin kali ini saya terpaksa bersuara untuk mengelakkan saudara saudari mendapat dosa kering dengan komen2 yang tidak baik ini.

    Saya mohon maaf jika post ini mengganggu perasaan mana2 pihak.

    Untuk makluman semua, Alhamdulillah saya telah pun mempunyai sebuah Klinik Veterinar di Kota Kemuning, Shah Alam atas doa rakan2 dan keluarga yang banyak menyokong saya selama ini.

    Jika post ini berterusan dan diviralkan tanpa usul periksa, saya nasihatkan agar admin atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap penyebaran gambar ini bersedia untuk sebarang kemungkinan tindakan undang2.

    Segala yang buruk datang dari diri saya sendiri, segala yang baik datang dari Allah s.w.t.

    Hanya Allah yang berhak menghakimi hamba2-Nya.

    Semoga Allah mengampuni dosa2 kita semua.

    Assalamualaikum.

    Reply
  • October 21, 2014 at 12:32 pm
    Permalink

    Terima kasih atas maklum balas yang diberikan kepada kami berhubung artikel ‘
    Mula-Mula Arak Dan Pegang Anjing, Lepas Ini Buat Kempen Babi – Ustaz Kazim’

    Untuk makluman pihak kami tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa berhubung penyebaran gambar tersebut, malam pihak editorial kami secara jelas telah meletakkan caption penggunaan ‘gambar tersebut hanya sekadar hiasan’ bagi memberikan gambaran yang lebih kepada para pembaca portal kami.

    Malah pihak kami turut menggaburkan gambar tersebut bagi menjaga sensitiviti dan mengelakkan sebarang kemungkinan.

    Walau bagaimanapun, pihak kami akan mengeluarkan gambar tersebut dari artikel tersebut bagi menghormati permintaan Cik Salehatul Khuzaimah.

    Sekian terima kasih.

    Editorial.

    Reply
  • October 23, 2014 at 12:55 am
    Permalink

    Islam adalah agama bersifat universal dalam membina kehidupan manusia…membimbing manusia bebas dari kesesatan kemunduran dan kesengsaraan hidup…mendidik dengan nilai-nilai ilmu yang berfaedah…membina peribadi yang bermoral dan berkualiti…mendorong pada mencapai kemajuan dalam hidup…memupuk perpaduan ke arah mencapai kesejahteraan hidup sejagat…bukan liberalisme seperti yang diingini olih kalangan manusia yang atheis munafik dan berfahaman duniawi…mereka lebih didorong olih nafsu dan akal yang bersandarkan pada keinginan diri pada keseronokan dan kesenangan duniawi semata-mata…memupuk sikap dan amalan hidup yang menjurus pada kemasiatan dan salahlaku sosial…mungkin mereka berfikir tidak bersalah atas prinsip hak asasi manusia tetapi mereka sebenarnya telah melanggar hukum yang telah ditetap olih Allah…perbuatan golongan ini akan membawa mereka ke jurang masaalah dan kesengsaraan hidup…kepincangan keluarga diri tidak terurus suka berpoya-poya penyakit melakukan jenayah dan hidup susah…keadaan ini bolih menjejas ketenteraman dan kesejahteraan hidup mereka sendiri…apa yang dimiliki tiada rasa nikmatnya dan hidup tiada rasa menafaatnya.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.