Kebebasan Media ‘Ala DAP’ Di Pulau Pinang

Oleh: Nur Adila Abdul Wahab

Georgetown – Persoalan berhubung kebebasan media di negara ini sering diperkatakan dan setiap kali isu itu dibangkitkan, ia akan menarik perhatian pihak-pihak tertentu yang kononnya memperjuangkan kebebasan media.

Isu kebebasan media kembali diperkatakan apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat 14 Okt lepas mengatakan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang menghalang akhbar Utusan Malaysia membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri turut menyumbang kepada kemerosotan Indeks Kebebasan Akhbar Negara (PFI).

Laporan Indeks Kebebasan Media (FPI) 2014 yang dikeluarkan badan antarabangsa ‘Reporters Sans Frontiers’ (RSF) menunjukkan Malaysia menjunam kepada kedudukan terburuk dalam sejarah, iaitu pada tangga 147 daripada 180 negara.

Kenyataan Ahmad Shabery itu mendapat reaksi pantas daripada DAP melalui kenyataan yang dikeluarkan Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang sudah lama tidak melarang mana-mana media daripada membuat liputan, walaupun tidak menjemput media seperti Utusan Malaysia.

Hakikatnya kerajaan DAP Pulau Pinang memang ‘mesra media’ tetapi hanya pada media tertentu dan ‘kemesraan’ Ketua Menteri Lim Guan Eng terhadap media boleh dilihat apabila hampir setiap hari memanggil wartawan untuk sidang akhbar hatta bagi mengumumkan perkara remeh.

Bagaimanapun, dalam setiap sidang akhbar itu, wartawan media arus perdana seolah-olah dipinggirkan apabila tiba sesi soal jawab dan pertanyaan daripada wartawan media arus perdana berhubung sesuatu isu dan yang dirasa sebagai soalan menjerat, akan dijawab dengan “saudara/saudari dari media mana” walaupun beliau mengenali wartawan yang membuat liputan sidang akhbar itu.

Ungkapan seperti “saya kena berhati-hati bercakap sebab ada media Umno di sini” sering dikeluarkan oleh Lim yang melabelkan media arus perdana sebagai ‘media Umno’ atau ‘media Barisan Nasional’ setiap kali sidang akhbar mahupun ketika berucap dalam satu-satu majlis.

Kesukaran Lim untuk menjawab soalan yang dikemukakan media arus perdana seperti Bernama, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan The Star membuatkan wartawan media arus perdana di negeri bawah pentadbiran DAP itu biasanya sekadar membuat liputan sidang akhbar tanpa bertanya soalan.

Situasi bagaimanapun berbeza apabila soalan diajukan oleh wartawan media alternatif dan Sinar Harian, Lim tanpa bertanya terus menjawab soalan yang dikemukakan.

Keadaan itu kadang-kala menyebabkan wartawan media arus perdana ‘segan’ untuk bertanya malah ada yang menyerahkan soalan kepada wartawan Sinar Harian contohnya, untuk ditujukan kepada ketua menteri itu.

Selain itu, sedikit kesilapan daripada pihak media walaupun ‘typo error’ akan dituntut untuk menyiarkan permohonan maaf atau berhadapan dengan tindakan saman.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat jika Lim mahu mempertahankan kebebasan media, ketua menteri itu tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana boleh memberi gambaran buruk kepada Setiausaha Agung DAP itu.

Beliau berkata walaupun Lim beranggapan ‘media Umno’ tidak memihak kepadanya, perkara itu tidak seharusnya menjadi penghalang untuknya berinteraksi dengan mana-mana pihak.

“Mungkin beliau merasakan media yang sedemikian rupa (media Umno) mungkin akan mempunyai pandangan yang berbeza dengan apa sahaja kenyataan yang beliau berikan.

“Malah media yang didominasi oleh DAP juga akan bertindak sedemikian rupa. Adakah media mereka sendiri membuka ruang sebagai mana yang diberikan oleh media arus perdana,” katanya.

Sivamurugan berkata jika ketua menteri itu berterusan mengamalkan sikap memilih terhadap media tertentu dalam memberikan kenyataan, ia sekali gus menyekat kebebasan media yang sering dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Mengulas mengenai sikap Lim yang gemar mengeluarkan kenyataan media untuk menjelaskan isu-isu tertentu, Sivamurugan berkata tindakan itu mungkin langkah selamat untuk mengelakkan sebarang kontroversi atau kenyataannya diputar belit.

“Mungkin itu langkah selamat. Kenyataan beliau itu tidak diberi ruang sepenuhnya berdasarkan pemilikan media…mungkin juga untuk mengelakkan sebarang kontroversi,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.