Jika Saya Playgirl, Setiap Dua Minggu Saya Tukar Pasangan

Petaling Jaya – Pelakon Nad Zainal membidas dakwaan segelintir pihak yang melabelkan dirinya sebagai “playgirl” ekoran kegagalannya menyulam cinta bersama dua pelakon lelaki iaitu Hefny Sahad dan Azwan Kombos dalam tempoh tidak sampai setahun sebelum ini.

“Ia tuduhan yang tidak berasas. Jika betul saya playgirl, saya tidak akan bercinta sehingga empat tahun lamanya (bersama Azwan). Kalau setiap dua minggu saya bertukar pasangan, baru boleh tuduh saya playgirl,” getus Nad kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Teraju filem Kami Histeria itu memberitahu, terlalu ramai yang bersikap ‘nasi tambah’ sehingga menyebabkan dia lebih gemar mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ daripada menceritakan apa sebenarnya yang berlaku dalam kedua-dua episod percintaannya sebelum ini.

“Saya tak perlu bercerita kepada satu dunia, orang tetap tidak faham juga. Terlalu banyak ‘nasi tambah’ sehingga saya sendiri tak larat nak jelaskan. Jadi, ada baiknya saya simpan sendiri,” kata pemegang Diploma Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu.

Namun, itu bukan bermakna Nad mengisytiharkan perang terhadap mana-mana lelaki yang pernah singgah di dalam kotak hatinya satu masa dulu.

“Saya tidak pernah ralat ataupun bosan untuk bercinta kerana setiap yang berlaku itu bersebab. Dalam dunia ini, kita boleh bertemu sesiapa saja sepanjang kehidupan, jadi saya perlu bersikap profesional.

“Buat masa ini, saya memberi fokus 100 peratus terhadap kerjaya. Saya masih muda dan keluarga juga sentiasa mendoakan yang terbaik. Saya percaya, cinta itu akan datang sendiri satu hari nanti tanpa perlu dipaksa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.