AS Gugurkan Bekalan Senjata, Peluru Dan Ubatan Kepada Rakyat Kurdis Syria

Washington – Tentera Amerika buat pertama kalinya menggugurkan dari udara senjata, peluru dan bekalan perubatan kepada rakyat Kurdis Syria di bandar raya bergolak Kobani, kata Pusat Arahan Amerika Syarikat (AS).

Sebuah pesawat kargo C-130 melakukan beberapa pengguguran dari udara barangan yang dibekalkan oleh pihak berkuasa Kurdis di Iraq.

Menurut kenyataan pusat arahan itu atau CENTCOM, bekalan itu bertujuan membolehkan penentangan diteruskan terhadap militan Negara Islam (IS) yang berusaha mengambil alih Kobani.

AS dan sekutunya di Barat sebelum ini mengenakan tekanan ke atas Turki supaya memainkan peranan utama dalam perjuangan terhadap militan IS di Kobani, tetapi Ankara enggan membekalkan senjata kepada rakyat Kurdis atau campur tangan secara ketenteraan terhadap kumpulan militan terbabit.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan juga pernah menolak gesaan agar negaranya membekalkan senjata kepada parti Kurdis di Syria dan menyifatkannya sebagai pertubuhan pengganas yang ada kaitan dengan Parti Pekerja (PKK) yang melancarkan penentangan selama 30 tahun bagi memperoleh pemerintahan sendiri di tenggara Turki.

Dalam perkembangan lain, CENTCOM berkata, pesawat pejuang diketuai AS melancarkan 11 serangan udara berhampiran Kobani pada Sabtu dan Ahad lalu dan membantu pejuang Kurdis menangkis usaha terbaru IS untuk memutuskan bekalan mereka dari Turki.

Sehingga kini, pasukan AS sudah melakukan lebih 135 serangan udara terhadap IS di Kobani saja.

Komander CENTCOM, Jeneral Lloyd Austin memberi amaran bahawa bandar raya terbabit mungkin jatuh ke tangan IS berikutan serangan ke atas pasukan pertahanan Kurdis di Kobani selama lebih sebulan.

Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria menyatakan 31 militan IS maut dalam serangan Sabtu dan Ahad lalu.

Menurut CENTCOM, serangan udara pasukan bersekutu berhampiran Kobani mengenai 20 sasaran IS, lima kenderaan IS dan dua bangunan dikuasai IS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.