KUALA LUMPUR, 19 September 2024 – Satu lagi berita gembira buat peminat K-pop di Malaysia! Kumpulan pop rock terkenal Korea, N.Flying bakal mengadakan konsert sulung mereka di Kuala Lumpur pada 1 Disember 2024, bertempat di ZEPP Kuala Lumpur. Acara ini merupakan sebahagian daripada jelajah konsert dunia mereka bertajuk ‘HIDE-OUT’ yang akan menjadi satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan oleh para peminat tempatan.
Sejak debut pada tahun 2015, N.Flying telah mencipta nama dengan deretan lagu-lagu hits seperti “Rooftop,” “GOOD BAM,” dan “Oh really.”. Kelainan mereka sebagai sebuah kumpulan yang menggabungkan elemen rock dengan pop dan rap telah berjaya menarik minat ramai peminat di seluruh dunia. Kini, peminat di Malaysia berpeluang untuk menyaksikan aksi penuh bertenaga kumpulan ini secara langsung buat kali pertama.
Namun, ada satu berita yang mungkin sedikit mengecewakan. Pemain dram Kim Jae Hyun tidak akan menyertai konsert ini kerana komitmennya dalam perkhidmatan ketenteraan. Walau bagaimanapun, empat ahli lain – Lee Seung Hyub (ketua, vokalis, rapper), Yoo Hwe Seung (vokalis utama), Cha Hun (gitaris), dan Seo Dong Sung (pemain bass) – berjanji akan memberikan persembahan yang tetap memukau dan penuh semangat kepada peminat.
Lee Seung Hyub, selain berbakat dalam bidang muzik, turut dikenali sebagai pelakon K-drama yang semakin meningkat popularitinya. Wataknya dalam drama popular seperti “Nevertheless,” “Shooting Stars,” dan terkini, “Love Next Door” di Netflix, telah memperkukuhkan lagi daya tarikannya. Mungkinkah kemunculannya dalam drama ini akan menarik lebih ramai peminat K-drama ke konsert tersebut?
Dengan tema ‘HIDE-OUT’, konsert ini dijangka akan membawa peminat ke dalam dunia muzik N.Flying yang lebih mendalam. Bukan hanya tentang muzik, konsert ini turut disulami dengan elemen kejutan yang bakal mencipta kenangan manis buat mereka yang hadir.
Pihak penganjur, More Entertainment dan 163, telah mengumumkan bahawa tiket akan mula dijual pada 27 September jam 11 pagi melalui laman web my.bookmyshow.com. Harga tiket bermula dari RM368 hingga RM799, dengan pilihan kotak VIP eksklusif berharga RM6,288 untuk lapan tempat duduk.
Dengan populariti N.Flying yang semakin meningkat dan kehebatan mereka di atas pentas, acara ini pastinya akan menjadi salah satu konsert K-pop yang paling dinanti-nantikan tahun ini. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan N.Flying memukau peminat Malaysia buat pertama kalinya!
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, peminat boleh mengikuti akaun media sosial More Entertainment di Facebook dan Instagram.
