Siti Kassim Persoal Status Anwar, Gesa AG Beri Penjelasan

SHAH ALAM: Aktivis kontroversi, Siti Kassim menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas menjelaskan status kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Menerusi sepucuk surat kepada Tommy, Siti yang juga seorang peguam bertanyakan apakah asas Presiden PKR itu dibebaskan daripada penjara Mei lalu.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya ingin meminta penjelasan daripada anda mengenai dakwaan pengampunan yang dikurniakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V baru-baru ini.

“Adakah DS Anwar Ibrahim diberi commutation (tukar dari hukuman berat ke hukuman yang lebih ringan) ataupun pengampunan?,” soalnya. 

 

Jelas Siti, ini kerana berdasarkan Artikel 48 (1)(e), seseorang rakyat Malaysia tidak layak menjadi Ahli Parlimen jika dia dijatuhkan sekurang-kurangnya satu tahun penjara dan tidak diberi pengampunan.

Individu itu juga tidak boleh berpolitik secara aktif selama 5 tahun selepas menjalani hukuman itu.

Anwar pada 2015 dijatuhkan hukuman lima tahun atas dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Bagaimanapun beliau dibebaskan pada 16 Mei selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Anwar kini bakal bertanding di PRK Port Dickson sebagai usaha untuk kembali ke Parlimen seterusnya menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Siti merupakan antara pihak yang lantang menentang keputusan PKR mengosongkan kerusi Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Siti menggesa para pengundi Parlimen Port Dickson agar tidak mengundi Anwar. 

Katanya, PKR dan keluarga Anwar mesti diberi pengajaran kerana ini kali ketiga pilihan raya kecil diadakan untuk memberi laluan kepada pemimpin utama PKR itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.