PRK PD: Keputusan UMNO Isnin Ini

KUALA LUMPUR: UMNO akan mengadakan mesyuarat biro politiknya pada 24 September ini untuk memutuskan sama ada bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson atau sebaliknya.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, berkata buat masa ini UMNO belum membuat sebarang keputusan sama ada bertanding atau memberi laluan kepada PAS.

“Belum ada keputusan (bertanding) sebab kita akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat biro politik kerana tarikh penamaan calon sama dengan tarikh Perhimpunan Agung UMNO.

“Jika UMNO tidak bertanding, PAS akan meletakkan calon mereka, malah ada juga calon bebas yang ingin bertanding. Walau apa pun, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menang tanpa bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada UMNO akan bertanding atau sebaliknya pada PRK Parlimen Port Dickson.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya, Datuk Daniyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober depan dengan penamaan calon diadakan pada 29 September ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.