Polis Serbu Rumah Tun Rahah, Tiada Barang Dirampas

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – Susulan dari pertuduhan dibuat ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, polis telah membuat serbuan ke rumah ibunya, Tun Rahah, hari ini.

Serbuan dibuat ekoran dari kes yang melibatkan Najib terutamanya bersabit isu penyelewengan dana perniagaan dari 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

Memetik laporan Free Malaysia Today, tindakan pihak berkuasa sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa ketakutan kepada Tun Rahah.

Ia disahkan oleh Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai serbuan yang dibuat namun, tiada barang atau dokumen yang dirampas.

“Ya, tergamak mereka menakutkan wanita itu tetapi mereka tidak temui apa-apa pun,” kata Shafee.

Serbuan tersebut telah dilakukan di kediaman Tun Rahah di Jalan Eaton off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Najib hari ini dihadapkan dengan 25 pertuduhan lagi dan menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan adalah 32 pertuduhan baru serta dikenakan ikat jamin sebanyak RM3.5 juta bagi kes ini.

Walau bagaimanapun, Najib tabah dan berkata, pertuduhan yang dihadapkan adalah jalan untuk beliau membersihkan namanya yang dipalitkan dengan pelbagai kes dan kontroversi sejak kalah dalam PRU14, Mei lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.