Perlu Sama-sama Main Peranan Untuk UMNO Bangkit – Shamsul Anuar

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – Semua ahli UMNO perlu memainkan peranan masing-masing untuk membangunkan parti semula dan bukanlah dibiarkan sebelah pihak sahaja berusaha, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Shamsul berkata, tindakan berganding bahu bersama-sama membangunkan UMNO semula adalah sangat penting kerana ia sebagai ukuran parti itu dapat dibangunkan semula atau tidak.

“Saya rasa, sama ada UMNO BANGKIT semula atau tidak, ia bergantung kepada kita semua. Ketika ini pelbagai perkara sedang dilakukan oleh pimpinan parti. Namun ia akan sukar jika kita letakkan sepenuhnya kepada satu pihak sahaja.

“Sebaiknya semua kita mesti sama sama memainkan peranan dikedudukan masing masing. Semua ini penting jika kita mahu UMNO berada di kedudukannya semula,” kata Shamsul dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Nasihat Shamsul lagi, pelbagai strategi telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memecah belahkan ahli-ahli parti dan menjatuhkan UMNO ketika ini.

Justeru itu, kepercayaan haruslah diletakkan pada tahap yang tertinggi kepada pucuk pimpinan parti.

“Oleh itu, kita jangan terperangkap dengan strategi yang mereka lakukan. Apa yang penting ketika ini, kita mesti letakkan kepercayaan kepada pimpinan parti dan bersatu dalam apa keadaan sekalipun. Ini penting untuk kebaikan UMNO secara keseluruhannya,” tegas Shamsul.

Ahli-ahli UMNO juga disarankan agar memberi kepercayaan kepada pimpinan parti lebih-lebih lagi kepada Presiden UMNO dan menyokong pelbagai usaha yang dilakukan bagi memulihkan semula imej UMNO.

“Ketika ini kita sedang bersiap untuk melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO 2018 pada penghujung bulan ini. Perhimpunan ini, bukan di suasana sebagaimana kita masih sebuah kerajaan. Pastinya Presiden UMNO akan menyampaikan amanat penting dalam Ucapan Dasar beliau. Saya percaya, pelbagai pihak yang menanti dan ingin mendapat gambaran jelas apakah halatuju parti akan menerima jawapannya ketika perhimpunan ini. 

“Justeru itu, inilah ruang terbaik beliau untuk menyatakan kemana arah haluan parti dan perjuangan kita di perhimpunan rasmi parti nanti. Saya harap kita memberikan peluang kepada Presiden dan pucuk pimpinan UMNO untuk melakukannya,” katanya.

Kelmarin, nama Shamsul terbabit dalam senarai ahli-ahli yang didakwa akan keluar UMNO mengikut jejak Tok Pa dan Anifah Aman.

Namun ia dinafikan oleh Shamsul sendiri dan menyatakan pendirian akan terus kekal bersama UMNO dan berjuang membangunkan parti Melayu ini semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.