VIDEO: Najib Mengaku Tak Bersalah Salah Guna Kedudukan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Selain itu, Najib juga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas 21 pertuduhan lagi mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Ini merupakan kali ketiga dalam tempoh tiga bulan beliau didakwa atas pendakwaan baru berhubung kes 1MDB.

Pendakwaan hari ini diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala pasukan pembelaan diketuai Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah.

Hari ini, Ahli Parlimen Pekan itu didakwa atas 25 pertuduhan antaranya membabitkan penerimaan wang haram dan pemindahan wang haram ke entiti lain.

Anak Najib, Ashman Najib dan Mohd Nizar turut berada dalam mahkamah bagi memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Turut kelihatan, Datuk Lokman Noor Adam; selebriti Ellie Suriaty Omar dan pasukan peguam mewakili bekas perdana menteri itu.

Difahamkan dua ejen khas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mewakili Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat turut berada di galeri awam.

Najib terdahulu tiba di mahkamah jam 1.48 petang. 

Beliau sebelum itu disoal siasat kira-kira empat jam di Pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Menara KPJ, Jalan Tun Razak. -SuaraTv

 

One thought on “VIDEO: Najib Mengaku Tak Bersalah Salah Guna Kedudukan

  • September 20, 2018 at 7:54 pm
    Permalink

    najib tak sepatutnya bolih ikat jamin? apa lebih dia? sama spt perompak penyamun pencuri..! tak lama lagi tak senyum dah! ingat kau bolih lawan undang2 ke? tunggulah masa ketika semua akan tahu nasib dia kemana? insyallah allah swt maha berkuasa… tak kemana pun!!! kebenaran tetap nampak nyata tak leh tutup punya!… bukti fakta jelas …tunggulah….ya.. sama2 kita lihat nanti!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.