Masih Ramai Pemimpin Komited Terajui Parti

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO memin­ta seluruh ahli parti itu supaya jangan putus harapan berikutan situasi yang melanda UMNO ketika ini.

Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, ini bukan tanda pengakhiran UMNO memandangkan masih ada pemimpin yang komited malah tabah dan sabar untuk memulihkan parti.

“Wanita UMNO terkejut dan terkilan dengan tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang keluar daripada UMNO.

“Tindakan mereka meninggalkan UMNO pada saat-saat parti sedang mengharungi cabaran getir membuktikan mereka tidak sanggup berjuang bersama UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, sepatutnya dalam mengharungi cabaran getir politik hari ini, seluruh kepemimpinan dan ahli-ahli UMNO memegang prinsip serumpun bak serai, sesusun bak sirih.

“Kalau mereka merasakan usaha untuk memulihkan defisit kepercayaan dan imej UMNO ini begitu sukar, mereka sepatutnya tidak cepat mengalah, mahupun berputus asa kerana inilah cabaran yang perlu ditempuh oleh sesiapa pun dalam dunia politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.