Kerjasama UMNO-PAS Faktor Ahli Parlimen Keluar Parti

KANGAR: Kerjasama UMNO-PAS menjadi faktor terbesar Ahli Parlimen dari UMNO keluar parti, selain hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti berkenaan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata kerjasama UMNO-PAS hanya membabitkan peringkat atasan tanpa mengambil kira pandangan dan persetujuan di peringkat Majlis Tertinggi.

“Bukan semua dalam UMNO bersetuju, hanya segelintir sahaja yang menyokong kerjasama dengan PAS ini, cuba lihat semasa Muktamar PAS, berapa ramai dari Majlis Tertinggi yang hadir?

“Mungkin dalam kalangan mereka tertanya-tanya, apa tujuan kerjasama ini? Kepentingan orang melayu kah, Islam kah atau kepentingan politik semata-mata? Kalau kepentingan politik kerjasama ini tidak akan ke mana,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dengan jumlah kerusi UMNO di Parlimen lebih banyak berbanding PAS pastinya ada dalam kalangan Ahli Parlimen dari UMNO kurang senang dengan tindakan yang dilihat seperti melutut kepada PAS.

Katanya, pengunduran Datuk Seri Mustapa Mohamed dari UMNO isyarat yang jelas pemimpin yang pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu cukup mengenali PAS terutama PAS di Kelantan.

“Tok Pa cukup lama di Kelantan, dia tahu sangat perangai pemimpin PAS ni macam mana. Kalau apa sahaja yang boleh memberi manfaat kepada PAS semuanya halal dan semuanya tidak haram

“Saya lihat pengunduran Tok Pa ini isyarat kepada Presiden UMNO dan Naib Presiden UMNO untuk dengar pandangan pimpinan UMNO yang lain. Jika kerjasama ini dipersetujui awal pastinya perkara ini tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, perlu diingat UMNO Kelantan sewaktu dipimpin Mustapa menyatakan sokongan terhadap Zahid sebagai calon Presiden UMNO dan pastinya tindakan keluar parti boleh dianggap satu undi tidak percaya terhadap Zahid dalam menguruskan UMNO.

Dr Rusdi berkata, walaupun berulang kali UMNO mengatakan mereka berubah hakikatnya parti itu masih tidak berubah.

“Banyak keputusan Presiden UMNO memberi reaksi dan tanggapan berbeza terhadap beliau sama ada mahu membuat perubahan atau tidak.

“Lihat sahaja di negeri-negeri, di mana individu yang dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO bukannya dari pemimpin negeri itu sendiri.

“Lihat Selangor, Terengganu, Perlis semuanya orang lain. Itu menunjukkan ketidakyakinan Presiden UMNO kepada pemimpin negeri,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.