Keracunan Arak, Dua Lagi Maut Di Selangor

SHAH ALAM: Dua lelaki warga asing meninggal dunia akibat keracunan alkohol sehingga jam 8 malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan mangsa yang maut di negeri ini seramai 19 orang.

“Mangsa terbaharu yang disahkan maut kerana keracunan alkohol adalah warga Myanmar dan Nepal.

“Pecahan mangsa yang maut setakat ini adalah, warga tempatan (seorang), Myanmar (sembilan), Nepal (lima), Bangladesh (dua), India (seorang) dan seorang yang masih belum dikenal pasti kerakyatannya,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, seramai 17 lagi mangsa masih menerima rawatan, manakala 20 individu lagi sudah dibenarkan pulang menjadikan jumlah keseluruhan mangsa keracunan alkohol termasuk yang maut di negeri ini seramai 56 orang.

“Pecahan mangsa adalah, warga tempatan (empat), Myanmar (13), Nepal (26), Bangladesh (10), India (dua) dan seorang lagi masih belum dikenal pasti,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian yang dilaporkan bermula kira-kira jam 7 malam kelmarin, kesemua mangsa mengalami muntah teruk selepas disyaki mengambil wiski dan bir.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kejadian berkenaan berikutan individu terbabit minum arak yang mengandungi metanol. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.