Hakim Tetapkan Wang Ikat Jamin Najib RM 3.5 Juta

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan ikat jamin terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM3.5 juta berhubung 25 pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim, Azura Alwi juga mengarahkan wang ikat jamin itu mesti dibayar secara penuh pada 28 September. 

Keputusan ini bermakna Najib terlepas daripada bermalam di penjara pada malam ini.

Peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberi jaminan sebanyak RM1 juta akan dibayar esok, manakala RM500,000 akan dibayar setiap hari sehingga tarikh itu.

Dua individu dinamakan sebagai penjamin iaitu Mohd Nizar Najib dan Mohd Shahrir Arifin.

Pada mulanya, Shafee mencadangkan ikat jamin sebanyak RM500,000 diberikan dengan dua penjamin. Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram membantah jumlah itu dengan mengatakan pertuduhan terhadap Najib di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 merupakan kesalahan serius membabitkan jumlah RM2.28 bilion.

Najib hari ini menghadapi 25 pertuduhan berkaitan kemasukan RM2.6 billion ke akaun peribadi beliau membabitkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) – Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan.

Tarikh 16 November ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.