Diharap Kes Ahmad Ziqri Tidak Berulang

KUALA LUMPUR: Pusat Permata Kurnia (Permata Kurnia) akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi nasihat mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menangani kes membabitkan individu autisme.

Inisiatif itu dijalankan susulan kes seorang pemuda autisme Ahmad Ziqri Morshidi, 22, yang ditahan pada 11 September lalu di Subang Jaya, kerana didakwa mencabul kehormatan seorang gadis.

Permata Kurnia yang ditubuhkan bagi menyediakan intervensi atau pendidikan awal kepada kanak-kanak yang mengalami autisme dari usia tiga hingga enam tahun bakal menjadi pemudah cara kepada warga PDRM menghadapi sebarang situasi membabitkan individu autisme sekiranya ada sebarang kes membabitkan mereka.

Pengarah Permata Kurnia, Prof Madya Dr Hasnah Toran, berkata kolaborasi antara Permata Kurnia dan PDRM ini bakal diwujudkan selepas Unit Urusetia Ketua Polis Negara, mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengenai perkara ini.

“Pada peringkat awal ini kita (Permata Kurnia) mempunyai tiga perancangan iaitu pendedahan serta berkongsi ilmu mengenai individu yang mengalami autisme kepada semua warga PDRM.

“Ini adalah penting bagi membolehkan pihak polis memahami sebarang situasi yang bakal diambil atau ditangani apabila berhadapan dengan kes membabitkan individu autisme,” katanya pada program Kerjasama dan Kesedaran Tentang Autisme Dalam Kalangan Warga PDRM dan Komuniti, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara, Datuk Ramli Din dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Hussin Ismail.

Dr Hasnah berkata perancangan lain yang akan diambil adalah mewujudkan kursus autisme secara keseluruhan dengan pegawai tertinggi PDRM sama ada di peringkat Bukit Aman, kontinjen mahupun daerah.

“Sebagai contoh, Permata Kurnia akan memberi pendedahan mengenai autisme kepada Ketua Polis Daerah di seluruh negara bagi membolehkan mereka berkongsi ilmu dengan semua pegawai dan anggota bawahan.

“Selain itu, modul mengenai autisme ini juga boleh disampaikan melalui sistem atas talian yang dinamakan iKurnia melalui portal ‘Pendidikan Digital Autisme Untuk Komuniti’ yang akan memudahkan pihak polis dan masyarakat mendapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya.

Katanya, ahli keluarga individu yang mengalami autisme mulai resah dan bimbang sekiranya peristiwa yang berlaku ke atas Ahmad Ziqri menimpa mereka.

Sementara itu, Ramli berkata PDRM sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kes seumpama ini terutama membabitkan individu yang mengalami autisme.

“Kerjasama dengan Permata Kurnia adalah langkah paling tepat dan dianggap wajar pada masa ini dalam memudahkan kita (PDRM) melaksanakan tugas ketika berhadapan situasi seperti kes Ahmad Ziqri.

“Melalui kerjasama ini, warga PDRM dapat memahami setiap ciri autisme, SOP saringan autisme, kepentingan mendapatkan diagnosis serta kepentingan intervensi berdasarkan bukti,” katanya.

Beliau berkata PDRM juga menganjurkan siri kesedaran mengenai autisme dalam kalangan pegawai dan anggota khususnya mereka yang terbabit dalam mengendalikan kes dan situasi seperti ini.

Katanya, kes jenayah autisme hendaklah ditangani dengan cara lain berbanding jenayah membabitkan individu yang normal. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.