“Awas, Tanah Melayu Ada Benih Duterte” – Hisham Rais

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mempunyai ‘benih-benih Duterte’ sekalipun baru empat bulan memerintah negara, demikian kata aktivis politik, Hishamuddin Rais.

Hishamuddin atau lebih dikenali sebagai Hisham berkata, apa yang berlaku di negara kini menyamai situasi yang berlaku di Filipina.

“Sayugia dingatkan, saksikan apa yang terjadi kepada Filipina. Rakyat Filipina telah berjuang ke jalan raya dengan people’s power. Mereka berjaya menghalau Marcos. Tapi hari ini yang lahir ialah Duterte – pembunuh berlesen.

“Awas dan waspada. Tanah Melayu dan Malaysia juga memiliki benih-benih Duterte,” katanya menerusi tulisan terbaru beliau.

Duterte adalah Presiden Filipina yang terkenal dengan gaya pemerintahan ‘brutal’, dan suka mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi, sehingga digelar “The Punisher”.

Hisham juga menambah, sekalipun berlaku perubahan kuasa, namun ia tidak bermakna jika tiada agenda perubahan perubahan struktural.

“Apa yang penting dalam agenda perubahan ialah perubahan struktural. Perubahan lembaga-lembaga daulah. Pendemokrasian jentera kerajaan. Pendemokrasian kaki tangan kerajaan.

“Agenda perubahan yang bersandarkan perubahan struktural akan menjamin kesejahteraan. Tanpa perubahan struktural maka kemenangan 9 Mei ini berkemungkinan lenyap,”tulis beliau, merujuk kepada kemenangan PH pada PRU14 lalu.

Ujarnya juga, agenda perubahan yang paling utuh ialah keberanian anak semua bangsa bangun bersuara dan bertindak.

“Jika bersuara dan bertindak telah menjadi budaya kita maka agenda perubahan boleh dituntaskan. Anak semua bangsa bukan hanya berlabun di Facebook atau Twitter atau Whatsapp.

“Jika anak semua bangsa berani bersuara dan bertindak maka tukang karut dan kaki labon dapat dibogelkan. Anak semua bangsa wajib memiliki minda yang kritikal. Kelentong dan lebong Mat Songel akan terbonggeng apabila anak semua bangsa mula berani berfikr.

“Berfikir secara kritikal adalah kunci agenda perubahan. Hanya dengan memiliki fikrah yang kritikal baru kita tahu dan sedar siapa sebenarnya peliwat dan siapa sebenarnya kaki lebong. Amin,” ujarnya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.