Suspek Bakar Pusat Tahfiz Pernah Kencing Atas Bendera Malaysia

KUALA LUMPUR — Penduduk Kampung Datuk Keramat di sini, sudah lama menahan rasa terhadap kumpulan remaja yang ditahan kerana membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Banyak perbuatan mereka menimbulkan kemarahan termasuk kencing atas bendera, mencalarkan kereta, malah melempar najis, lapor Harian Metro.

Suri rumah dikenali sebagai Mah, 60, berkata seorang remaja yang kencing atas Jalur Gemilang bulan lalu, dibelasah penduduk setempat.

Beliau berkata kumpulan remaja itu juga “pantang ditegur” atas pelbagai perbuatan jahat dan mereka membalasnya dengan mencalarkan kereta penduduk.

“Malah, ada satu kejadian yang akan diingati penduduk iaitu sekumpulan remaja ini sanggup melempar najis ke kereta orang,” katanya.

Adnan, 57, pula terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan Taman Tasik Datuk Keramat kerana tidak tahan dengan gelagat mereka..

Beliau yang ada masalah jantung mendakwa sering dipermainkan kumpulan remaja itu yang menghisap gam atau ganja di taman rekreasi tersebut.

Peniaga, Fairus, 32, pula mendakwa kumpulan remaja itu pernah mengugut pelajar tahfiz kerana merakamkan mereka ketika menghisap dadah.

Tragedi Subuh 14 September lalu mengorbankan 21 nyawa pelajar dan dua guru.

Tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun, enam daripadanya positif ganja ditahan polis bagi membantu siasatan.

Kementerian Pendidikan juga mendapati mereka mempunyai rekod disiplin sekolah. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.