Rakyat Malaysia Di Mexico Selamat Dari Bencana Gempa Bumi

KUALA LUMPUR – Semua 19 rakyat Malaysia yang tinggal di Mexico selamat daripada gempa bumi yang melanda tengah negara itu, petang semalam waktu tempatan.

“Kedutaan Malaysia di Bandaraya Mexico memaklumkan empat rakyat Malaysia yang tinggal sana selamat.

“Seramai 15 lagi rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan lain di Mexico tidak berada dekat dengan kawasan terjejas,” kata Kementerian Luar menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Negeri Morelos dan Puebla di Mexico masing-masing dilanda gempa bumi berukuran 7.1 dan 6.8 pada skala Richter, awal pagi tadi.

Pusat gempa itu ialah di Axochiapan, sebuah bandar di Morelos, terletak 120km tenggara bandar raya Mexico.

Kenyataan itu memaklumkan, gegaran boleh dirasai di seluruh tengah Mexico, iaitu Bandaraya Mexico, Puebla, Cuajimalpa, Telixtac, Chautla dan 90 bandar kecil lain.

Menurut laporan CNN, pihak berkuasa Mexico berkata, bencana itu mengorbankan sekurang-kurangnya 216 orang.

Kementerian Luar menerusi Kedutaan Malaysia di Bandaraya Mexico, berkata mereka akan memantau perkembangan berkaitan insiden itu.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Kedutaan Malaysia di Bandaraya Mexico melalui talian +52 55 5282 4656, +52 55 5282 5166 atau e-mel di mwmexico.kln@1govuc.gov.my atau mwmexico@prodigy.net.mx. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.