Para Asean KL2017: Olahraga Cemerlang Sumbang 8 Pingat Emas Lagi

KUALA LUMPUR – Atlet yang kali pertama beraksi dalam acara olahraga pada Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur 2017 (Para Kl2017) ini, Eddy Bernard, Zulhaizat Zainal Abidin, Erwan Mohd Hasnoor dan S Thavanesvaran, mencuri tumpuan pada hari kedua apabila menjadi watak penting tatkala lapan emas dituai di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Eddy yang berusia 16 tahun meraih emas kedua peribadi apabila melakukan lompatan sejauh 5.76 meter dalam acara lompat jauh lelaki T37 (cerebral palsy), mengulangi pencapaian semalam apabila meraih emas acara 100m.

Turut cemerlang Zulhaizat Zainal Abidin yang mencatat masa 54.80s untuk meraih emas sulungnya dalam acara 400m lelaki T13 (kurang penglihatan).

Atlet kelahiran Perlis, Erwan Mohd Hasnoor pula menebus kekecewaan gangsa dalam acara 100m lelaki T38 (cerebral palsy) semalam, kepaada emas apabila mengungguli acara lompat jauh dengan jarak 5.49m.

S Thavanesvaran pula melakukan kejutan apabila meraih emas acara 400m lelaki T44 (kecacatan kaki) dengan catatan 56.43s, walaupun ia adalah penampilan pertamanya dalam acara berkenaan.

Olahragawati 2011 dan 2013, Hemala Devi Eni Kutty pula terus cemerlang apabila menyumbang emas kedua dalam acara lontar peluru wanita F12 (kurang penglihatan) selepas melakukan lontaran sejauh 10.09m.

Catatan 49.85s pula memberikan Nasharuddin Mohd emas acara 400m lelaki T20 (masalah pembelajaran), manakala Muhamad Ashraf Muhammad Haisham pula melakukan larian konsisten dalam acara 800m lelaki T46 (kecacatan tangan) untuk membawa pulang emas, dengan catatan 2:04.05s.

Sementara itu, Umi Syuhadah Idris menjadi atlet terakhir menghadiahkan emas buat negara dari lapangan olahraga hari ini, apabila melakukan lontaran sejauh 7.92m dalam acara lontar peluru wanita F37 (cerebral palsy).

Pingat perak tunggal diraih Muhamad Nurdin Ibrahim apabila melakukan catatan 2:03.86s dalam acara 800m lelaki T20 (masalah pembelajaran).

Dalam pada itu, Felicia Mikat terus dihantui kecederaan buku lali apabila sekadar meraih gangsa acara 400m wanita T13 (kurang penglihatan).

Turut meraih gangsa adalah Amir Firdaus Jamaluddin (lompat jauh T38), Hisam Che Soh (lontar peluru F46), Abdul Halim Badruddin (800m T38), Saiful Dawang (lompat jauh T44), Doriah Poulus (lempar cakera F44) dan Richard Bada (merejam lembing F40/41). – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.