Nedim Teruja Bakal Jadi Bapa Lagi

KUALA LUMPUR: Suami Nora Danish, Nedim Nazri, berkongsi kegembiraan apabila isterinya itu disahkan hamil tiga bulan.

Berbuat demikian menerusi laman sosial Instagramnya, Nedim memuat naik sekeping gambar menunjukkan nota yang kononnya ditulis bakal bayinya berserta alat ujian kehamilan.

“Dua bulan lalu, saya menerima (alat pengesan kehamilan) ini daripada isteri. Hari itu juga saya tahu bagaimana indahnya masa depan saya nanti. Saya bertuah kerana memilikimu sebagai kawan, isteri dan tidak lama lagi ibu kepada anak kita.

“Saya juga tiada sebarang keraguan di minda, kamu akan melalui fasa keibuan kelak dengan menakjubkan sekali. Kamu istimewa dari setiap sudut,” tulis Nedim sambil menganggap isterinya itu sebagai rahmat yang membahagiakan.

Hari ini, Nora secara eksklusif mendedahkan kehamilannya kepada BH Online, selepas lebih lima bulan mereka berkahwin.

Rentetan perkongsian berita gembiranya itu, Nora dan suami tidak putus-putus menerima ucapan tahniah daripada teman serta pengikut laman sosial masing-masing.

Pada 8 September lalu, penampilan Nora pada majlis perkahwinan teman baik mereka, Engku Emran Zainal Abidin dan Laudya Cynthia Bella, mencetuskan teka-teki berkaitan kemungkinan dirinya berbadan dua apabila kelihatan sedikit berisi.

“Saya gembira dengan berita ini. Suami lagilah bertambah teruja. Cuma, pada peringkat awal dan atas nasihat doktor, saya tidak boleh terburu-buru.

“Pada usia saya sekarang, apa saja boleh terjadi. Saya kena lebih berhati-hati dan atas nasihat doktor serta suami, kerja seni terpaksa diperlahankan.

“Tumpuan saya sekarang lebih kepada menjaga kandungan dalam perut ini,” katanya yang turut memiliki seorang cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 8 tahun, menerusi perkahwinan pertamanya dengan Rizal Ashram atau Jejai.

Nedim juga mempunyai anak, Nedrin, 5, daripada perkahwinan terdahulu dengan wanita dikenali sebagai Nabilah Khan.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.