MCCF Cadang Wujudkan Sekolah Pemulihan Khas Pelajar Bermasalah

KUALA LUMPUR – Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sekolah pemulihan khas untuk pelajar bermasalah.

Pengerusinya, Halim Ishak berkata, sekolah yang dimaksudkan bukan seperti sekolah untuk pelajar yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Juvana, sebaliknya adalah untuk pelajar yang bermasalah seperti sering ponteng dan melanggar disiplin sekolah.

“Ada golongan pelajar yang nakal dan mengalami masalah disiplin di sekolah dan tidak ke sekolah, tapi mereka tidak lagi sampai tahap melakukan jenayah.

“Mereka ini perlu diasingkan dengan pelajar lain di sekolah khas untuk pemulihan awal. Pencegahan peringkat awal di sekolah khas mungkin boleh membantu dan menyelamat mereka dari terdedah dengan pengaruh negatif yang lebih serius di luar sekolah,” katanya kepada Bernama.

Cadangan itu dibuat susulan tindakan tujuh orang remaja tercicir yang dilapor membakar sebuah pusat tahfiz di sini sehingga mengorbankan 21 pelajar dan dua guru pusat tersebut Khamis lepas.

Halim berkata, China antara negara yang telah memperkenalkan sekolah khas seperti itu untuk menangani masalah pelajar ponteng kerana ketagih permainan video dan internet. –Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.