Makin Ramai Beri Maklumat Pada SPRM

Kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dilihat semakin meningkat berikutan peningkatan pemberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya mendapati maklumat yang diterima dari semasa ke semasa semakin meningkat.

“Mana-mana rakyat Malaysia yang mahu membanteras gejala rasuah, jangan gentar dan jangan takut. Sampaikan maklumat tersebut kepada SPRM,” kata beliau kepada pemberita pada Program Kembara Jelajah AntiRasuah Konvoi Kejar 2017 di Ma’had As-Syarie, Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru hari ini.

Kembara 13 hari itu disertai 43 motosikal berkuasa besar berkonvoi sejauh 2,000 kilometer ke 12 negeri di Semenanjung Malaysia.
Dzulkifli berkata masyarakat boleh memilih dua cara untuk menyalurkan maklumat kepada SPRM iaitu dengan membuat aduan secara terus atau salurkan maklumat tanpa mendedahkan identiti mereka.

“Kalau seluruh rakyat Malaysia mengambil pendirian tegas dalam membanteras rasuah, tiadalah yang nak beri dan tiada siapa yang dapat,” kata beliau.

Selain itu, beliau berharap agar segelintir masyarakat supaya tidak memandang sinis terhadap usaha anggota SPRM yang saban hari bertungkus lumus menjalankan tugas dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Meskipun dengan kekuatan seramai 2,100 anggota beruniform, agensi itu telah secara agresifnya menjalankan siasatan dan aktiviti pendakwaan hampir setiap minggu.

Oleh itu, kritikan membina daripada ahli masyarakat sedia diterima dalam usaha SPRM menambah baik perkhidmatan sekali gus dapat membantu membanteras gejala rasuah di negara ini, kata beliau.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.