Mahathir Tidak Pernah Mahu Berubah, Kata PAS

MARANG – Pemuda Pas menyifatkan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah mahu berubah malah kini sanggup menjadi pelindung kepada DAP.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, serangan Mahathir terhadap Pas juga semakin menjadi-jadi berhubung pelbagai isu termasuk isu ‘Amanat Hadi’ dan ‘dedak’ Umno.

Menurutnya, dahulu DAP menjadi sasaran serangan bekas perdana menteri itu namun keadaan sekarang berubah apabila Mahathir dilihat menjadi pelindung kepada DAP.

“Dalam kenyataan saya sebelum ini, undi Harapan adalah undi DAP, tidak adapun kenyataan pimpinan DAP yang menyanggah.

“Yang ada hanyalah kenyataan Amanah, PKR dan ditutup dengan kenyataan Mahathir yang menyangkal dakwaan itu dengan menyebut, undi Pas adalah undi BN,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, mungkin Mahathir terlupa bahawa Pas bukan parti komponen BN berbeza dengan PKR, Amanah dan Bersatu, bersama dalam Harapan yang hanya mengharapkan kekuatan DAP.

“Ketika rakyat Malaysia sudah berubah kerana kesedaran yang berlaku hasil daripada kelantangan Pas dan seangkatannya dalam mempertahankan kesucian Islam.

“Hanya Mahathir yang tak nak berubah, masih lagi tidak menarik kenyataan-kenyataannya yang menghina ajaran Islam.

“Orang tak lupa kenyataan Mahathir yang menghina sunnah Nabi Muhammad SAW menyimpan janggut.

“Kata Mahathir, Nabi Muhammad SAW tak cukur janggut kerana pada zaman itu tidak ada pisau Gillet.

“Rakyat juga tidak lupa Mahathir secara rasminya melalui surat kepada almarhum Tuan Guru Nik Aziz menolak kanun jenayah syariah Kelantan,” katanya.

Beliau menyifatkan rakyat Malaysia termasuk ahli Umno sendiri, ramai sudah berubah ke arah penghayatan Islam sebenar khususnya dalam isu hukum jenayah Islam, hudud dan qisas.

Menurutnya, berpuluh tahun Pas bersabar menghadapi pelbagai tohmahan dengan menjawab dan memberikan penjelasan kepada masyarakat Islam atau bukan Islam akan kedudukan hukum jenayah Islam.

“Akan tetapi Mahathir tak nak berubah, masih lagi mempertahankan kenyataannya hudud di Kelantan adalah hudud Pas.

“Dalam himpunan RUU355 beberapa bulan lepas rakyat Malaysia termasuk ramai di kalangan orang Umno yang menyokongnya kerana mereka menyedari apa yang diperjuangkan Pas adalah benar.

“Mahathir masih lagi dengan dokma kafir mengkafir walaupun rakyat Malaysia sudah lama menolaknya.

“Ketika rakyat Malaysia sudah berubah kepada Islam, Mahathir masih lagi mempertahankan Kasim Ahmad yang hina Islam kerana sikap anti hadisnya,” katanya.

Muhammad Khalil, hari ini, ditambah lagi bersama-sama dengan ‘puak Siti Kasim’ yang memperjuangkan agenda Islam liberal yang mana mereka juga telah bersama Harapan.

“Barangkali Mahathir sudah gelabah kerana pekongnya sudah terdedah satu persatu, daripada isu Memali sehinggalah isu penyelewengan forex, BMF dan lain-lain lagi.

“Apa yang boleh dibuat ialah mengalihkan pandangan orang ramai kepada isu-isu yang sudah lapuk,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.