KAFA Tagih Janji Penaja

Lebih RM1 juta tunggakan penajaan belum dijelaskan oleh tiga penaja kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk musim ini.

Perkara tersebut didedahkan oleh Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan yang menyaksikan badan induk itu berdepan masalah tunggakan untuk membayar gaji barisan pemain The Red Warriors (TRW), lapor Kosmo.

Bibi Ramjani berkata, lebih memeritkan ada penaja yang langsung tidak menepati janji mereka seperti termaktub dalam kontrak.

“Berbaki tiga perlawanan lagi untuk musim ini, jadi saya minta kepada penaja tunaikan janji yang telah dibuat walaupun secara berperingkat.

“Sekurang-kurangnya KAFA boleh gunakan wang tersebut untuk melunaskan tunggakan gaji bagi musim ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan barisan pemain Piala Presiden di Kota Bharu semalam.

Pada pertemuan itu, KAFA membayar tunggakan gaji melibatkan barisan pemain Piala Presiden bagi Julai dan Ogos.

Bibi Ramjani memberitahu, beliau menggunakan duit poketnya untuk melunaskan tunggakan tersebut dan berharap bayaran itu mampu membangkitkan semangat para pemain untuk memberikan aksi terbaik dalam saingan suku akhir Piala Presiden esok.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani mahu barisan pemain Liga Super terus fokus dalam baki tiga perlawanan bagi mengelakkan TRW tergelincir ke Liga Premier musim depan.

“Diharapkan barisan pemain dapat memberikan aksi terbaik dan pada masa sama saya akan berusaha mencari dana bagi menyelesaikan tunggakan gaji,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.