Jangkaan, Tanda Aras Karier Diana Danielle

SENGKANG masa selama 14 tahun bertapak dalam industri hiburan, berselang-seli pengalaman manis dan pahit pernah ditelan aktres jelita Diana Danielle demi kelangsungan kariernya.

Bermula sebagai pelakon seawal usia 11 tahun membolehkan Diana mengutip banyak pengalaman sehingga melayakkan dirinya dicalonkan dalam penganjuran anugerah berprestij seperti Festival Filem Malaysia (FFM) meskipun setakat ini dia masih belum berjaya meraih sebarang trofi kemenangan.

Untuk tahun FFM edisi ke-29 tahun ini, filem Hanyut lakonkannya berjaya tersenarai dalam kategori Anugerah Utama, sekali gus memberi bayangan bahawa namanya turut tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Penganjuran FFM kali ini menyaksikan kelainan apabila tiada pengumuman awal termasuk senarai lima calon terbaik bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Kelainan tersebut diputuskan kerana Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) selaku penganjur FFM tidak mahu mencetuskan sebarang kontroversi berhubung pencalonan menjelang malam anugerah yang akan berlangsung pada 23 September nanti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Bertemu pada sesi fotografi FFM29 baru-baru ini, pemilik nama Diana Danielle Danny Beeson itu berbicara mengenai jangkaannya terhadap potensi kemenangan filem Hanyut selain berkongsi perjalanan kariernya buat masa ini.

Enggan kecewa

Sempena FFM kali ini, Diana secara jujurnya enggan menaruh harapan menggunung untuk kemenangan. Hal ini kerana dia sendiri tidak mahu pada akhirnya nanti akan berasa kecewa sekali lagi selepas berkali-kali tercalon namun tidak pernah membawa sebarang kemenangan.

“Saya tidak suka kecewa selepas meletakkan pengharapan ke atas sesuatu. Lebih-lebih lagi dengan tiada pengumuman senarai lima terbaik untuk semua kategori membuatkan saya ingin membiarkan sahaja ia bergantung kepada rezeki.

 

Tidak meletakkan harapan besar untuk menang, Diana bagaimanapun mahu filem Hanyut dikenang sebagai salah sebuah karya dan idea hebat kerana elemen sejarah yang terkandung di dalamnya.

“Sejujurnya saya tidak begitu mengikuti perkembangan filem tempatan pada tahun ini, jadi tidak tahu siapa rakan artis yang boleh menjadi pesaing terdekat,” ujarnya memulakan perbualan.

Ironi, filem Hanyut merupakan karya yang menjalani penggambaran pada 2010 dan mengambil masa hampir empat tahun sebelumkan pada tahun 2016 selepas siap sepenuhnya pada 2012.

Ditanya tentang tahap keyakinan dan keberhasilan lakonannya menerusi Hanyut, Diana berkata: “Kalau ditanya tentang lakonan sendiri, secara semula jadinya saya akan memberikan jawapan negatif kerana saya gemar menyoal diri mengapa saya memberikan aksi atau ekspresi begitu begini. Secara tidak langsung, saya menjadi seorang yang kritikal terhadap lakonan sendiri.

“Namun, jika soalannya berkaitan hasil lakonan dalam Hanyut, jawapan yang boleh diberikan adalah sebagai gadis berusia 18 tahun pada ketika itu, saya sudah memberikan sehabis kemampuan untuk filem ini.”

Mengagumi sentuhan karya sutradara terkenal U-Wei, Diana memendam harapan tinggi supaya filem Hanyut diingati sebagai salah sebuah naskhah bernilai kerana kepadatan ilmu sejarah yang terkandung di dalamnya.

“Perkara paling sukar tentang filem ini adalah kajian mengenai kaum wanita pada akhir abad ke-19 dan sosial ekonomi masyarakat pada ketika itu. Jadi, desakan hidup yang dilalui kaum wanita dalam sejarah abad itu diterjemahkan dengan baik oleh pengarah,” katanya.

Alasan

Selepas mendirikan rumah tangga, bergelar isteri dan ibu, wajah Diana sebenarnya jarang muncul di layar perak selepas kali terakhir menerusi Sembunyi: Amukan Azazil (2013) dan Kami Histeria (2014).

Meskipun menerima banyak tawaran, namun dia terpaksa menolaknya kerana menganggap ia kurang menarik daripada segi skrip.

Bagi Diana, dia meletakkan penerimaan tawaran terhadap sesebuah naskhah berdasarkan skrip adalah perkara yang sangat penting bagi anak seni. Penilaian tersebut penting demi menjamin kualiti sesebuah naskhah kerana karya yang baik datangnya daripada penulisan skrip yang bagus.

 

Bagi Diana, anak seni yang benar-benar cintakan karya dan kerja lakonan tidak akan memikirkan soal kemenangan dalam sesebuah majlis anugerah kerana sikap tersebut hanya akan menjatuhkan reputasi.

“Memang betul, seorang pelakon tidak boleh mengawal sesebuah skrip mengikut kehendak sendiri tetapi kami boleh menilainya menerusi pembacaan.

“Bagi saya, apabila menerima sesuatu tawaran, banyak perkara perlu diambil kira. Paling penting, adakah masa yang saya gunakan ketika bekerja berbaloi kerana ia sepatutnya digunakan untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

“Pada masa sama, saya perlu ada perasaan teruja dan tidak sabar untuk keluar bekerja kerana apa yang perlu dikerjakan itu adalah naskhah terbaik. Pendek kata, setiap tawaran kerja yang datang perlu hadir dengan alasan yang kukuh, kenapa ia perlu diterima,” jelasnya.

Harapan

Beralih topik ke arah perkembangan terkininya, ibu muda berusia 25 tahun itu berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama adaptasi popular Korea Selatan, Coffee Prince.

Memegang watak sebagai Mariam (Yoo Joo dalam Coffe Prince), Diana berkongsi pengalamannya tatkala kali pertama bekerja bawah arahan pengarah Michael Ang.

“Bekerja dengan Michael sangat seronok sebab dia seorang yang mudah bekerjasama dan jujur. Jika tidak sukakan sesuatu, dia akan berterus-terang tanpa berselindung.

“Biarpun seronok tetapi drama ini tetap ada cabaran tersendiri. Disebabkan ia merupakan karya adaptasi, jadi banyak babak yang tidak boleh ditiru seperti adegan berpeluk kerana kekangan budaya dan agama. Jadi, saya harap tidak timbul persoalan mengapa ada perubahan dalam drama ini,” ujarnya yang turut bergandingan dengan Fahrin Ahmad dalam naskhah berkenaan.

Selain drama, Diana juga bakal muncul dengan sebuah program travelog yang akan membawa penonton meneroka keindahan dan keunikan destinasi menarik di seluruh negara.

“Menariknya, dalam program ini saya tidak keseorangan. Sebaliknya setiap episod akan ada seorang tetamu jemputan yang terdiri daripada selebriti media sosial antaranya berasal dari China, India Australia,” ujarnya yang akan menjalani penggambaran selama 20 hari dalam masa terdekat.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.