Tukang Cat Maut Kena 9 Das Tembakan Di Setiu

KUALA LUMPUR – Seorang tukang cat berusia 37 tahun maut selepas terkena 9 das tembakan di rumah bapa saudaranya di Kampung Jelapang di sini, hari ini.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata mangsa, Erdy Alias, ditemui terbaring di depan pintu rumah berkenaan oleh bapa saudaranya pada kira-kira 4.30 pagi itu.

 

Katanya, bapa saudara mangsa menghubungi polis selepas menyedari kejadian itu apabila baru pulang daripada melawat keluarganya di Gong Badak, Kuala Terengganu, pada waktu itu.

 

Dalam kenyataan di sini, katanya hasil pemeriksaan pakar patologi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), menemukan kesan tembakan di pada leher, lengan kiri, punggung, paha kiri, kaki kiri, dada kanan dan kiri mangsa.

 

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa, yang berasal dari Kampung Kepas, Besut, ditembak dengan 2 pucuk pistol berlainan.

 

“Polis turut menjumpai anak peluru di tepi dinding dan pintu dapur di dalam rumah serta kelongsong peluru di halaman rumah,” katanya.

 

Katanya, hasil semakan rekod mendapati mangsa mempunyai 7 rekod kesalahan lampau termasuklah di bawah Seksyen 506 Kanun Kes Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang menggunakan senjata, Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya dan beberapa lagi.

 

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pembunuh serta mengenal pasti motif pembunuhan,” katanya.

 

Beliau berkata mangsa tinggal di rumah itu sejak 9 September lepas untuk bekerja dengan bapa saudaranya yang juga merupakan tukang cat.

 

Sehubungan itu katanya, polis memohon kerjasama orang ramai, khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran tampil menyalurkan maklumat jika ada melihat individu yang tidak dikenali berada di kawasan terbabit.

 

Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.