Penjara Enam Bulan Menanti Siswa Universiti Terlibat Skim Cepat Kaya

KUALA LUMPUR — Penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 antara hukuman menanti mahasiswa jika didapati bersalah menjadi ejen skim cepat kaya.

 

Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, siswa yang terlibat dalam aktiviti itu hanya menjejaskan tugas hakiki mereka sebagai pelajar.

 

“UTM mengambil usaha mengetatkan penguatkuasaan berkaitan pemasaran berbilang tingkat (MLM) dalam kalangan pelajar.

 

“Ini kerana [UTM] tidak mahu lebih ramai [pelajar] membabitkan diri sehingga berisiko menjadi mangsa dan kerugian, selain hilang tumpuan hingga menjejaskan pengajian.

 

“Ketiadaan bukti kukuh atau sikap mangsa tidak tampil membuat pengesahan mengenai kerugian dialami, menyukarkan tindakan diambil,” kata Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz seperti dilaporkan Berita Harian.

 

Siswa tertakluk kepada hukuman penjara dan denda seperti mana yang termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

 

Berdasarkan Seksyen 15A akta itu, pelajar secara individu atau pertubuhan, badan atau berkumpulan dilarang daripada melakukan aktiviti memungut wang.

 

Mohd Ismail berkata, pelajar yang terlibat dengan skim cepat kaya terdedah kepada risiko hutang keliling pinggang, tekanan perasaan dan gagal menamatkan pengajian.

 

“Pelajar perlu matang dan bijak buat keputusan serta pilihan risiko bisnes yang mahu disertai.

 

“Sogokan kononnya mampu kaya dan mewah seperti didakwa oleh sindiket seumpamanya itu adalah tidak logik kerana tiada jalan mudah menempa kejayaan,” beliau dilaporkan berkata.

 

Selain UTM, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara juga giat melakukan pemantauan dan kempen kesedaran bahaya MLM dan skim cepat kaya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.