Penduduk Mengeluh Harta Benda Rosak Dilanda ‘Tsunami Kecil’

KLANG – Penduduk di Kampung Tok Muda, Kapar di si­­ni yang rumah mereka terjejas teruk akibat fenomena air pasang besar mengeluh kerana terpaksa menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM10,000 akibat barangan serta kelengkapan masing-masing rosak.

 

Antara harta benda milik mereka yang rosak adalah mesin basuh, peti sejuk, perabot dan kenderaan kerana dimasuki air masin.

 

Fenomena air pasang besar yang melanda kampung berke­naan sejak semalam juga disifatkan mereka sebagai yang terburuk dalam tempoh 25 tahun.

 

Tinjauan Utusan Malaysia men­dapati, kebanyakan pendu­duk menyatakan tidak sempat menyelamatkan barangan ma­sing-masing kerana paras air naik begitu pantas.

 

Seorang penduduk, Adanan Suratman, 52, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana sejak 25 tahun menetap di kampung berkenaan, tidak pernah kawasan tersebut dilanda air pasang besar.

 

“Ketika kejadian iaitu kira-kira pukul 7 pagi semalam, saya bersama ahli keluarga sedang tidur sebelum terdengar bunyi air yang kuat.

 

“Pada mulanya, saya me­nyang­­ka hanya hujan lebat tetapi sebaik sahaja melihat ke luar, air laut telah sampai ke pekarangan rumah, seolah-olah tsunami kecil melanda kediaman saya.

 

“Air naik sehingga paras betis dan banyak barangan elektrik termasuk buku-buku sekolah anak saya rosak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

 

Seorang lagi penduduk, Ahmad Azhari Soraji, 45, pula memberi­tahu, air naik dengan pantas iaitu dalam tempoh hanya kira-kira seminit.

 

“Walaupun rumah saya terletak beberapa ratus meter dari pantai, tetapi ini kejadian pertama rumah saya dilanda air pasang besar.

 

“Sebab itu kami tidak membuat persediaan. Air pula naik terlalu pantas menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan ba­rang-barang kami.

 

“Banyak barangan elektrik se­perti peti sejuk, mesin basuh, sofa, almari rosak, selain kereta jenis Proton Persona saya turut tenggelam hingga paras tempat duduk,” jelasnya.

 

Menurut Rudyari Rosmin, 30, kereta Proton Iswara miliknya di­teng­gelami air hingga paras cermin ma­­nakala dua motosikalnya turut tenggelam.

 

Pemilik Res­toran Aroma Ikan Bakar di Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor, Mohd. Naim Omar memberitahu, kejadian air pasang besar itu turut melanda premisnya.

 

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, keja­dian di kawasan itu merupakan yang paling buruk sejak 15 tahun lalu sehingga mewujudkan trauma kepada penduduk.

 

Menurutnya, berdasarkan mak­lumat penduduk kampung Tambak Jawa, ban pecah menyebabkan air laut begitu deras memasuki kawasan rumah mereka manakala golongan nelayan melaporkan ribut kuat berlaku di tengah laut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.