Istilah ‘Anwar Main Belakang’ Maksud Khianat Bukan Liwat – KJ

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan kenyataannya sewaktu ceramah pada 2008 menyebut ‘Anwar main dua-dua ikut belakang’ bermaksud bekas Ketua Pembangkang itu mengkhianati rakan politiknya ketika itu, PAS dan DAP.

 

Khairy yang bercakap di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dalam pembelaan tuntutan saman RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataannya itu dipetik diluar konteks oleh sebuah portal berita.

 

“Saya bercakap mengenai gabungan atau kerjasama antara parti pembangkang, iaitu PAS, PKR dan DAP bagi tujuan pilihan raya, dan saya membandingkannya dengan perkahwinan mut’ah atau perkahwinan kontrak yang secara dasarnya tidak akan kekal dan dilakukan hanya mencapai matlamat jangka pendek,” kata Khairy.

 

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya oleh peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

 

Anwar dalam pada itu diwakili oleh barisan peguam diketuai J.Leela bersama Latheefa Koya.

 

Ujar Khairy, ucapannya pada 19 Februari 2008 sewaktu melancarkan jentera pilihan raya Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai tidak bermaksud untuk memfitnah Anwar berkaitan isu liwat.

 

“Sama sekali tidak. Parti-parti politik tidak boleh melakukan hubungan seks. Ia hanyalah metafora,” kata Ketua Pemuda UMNO itu sewaktu disoal balas oleh J.Leela.

 

Saman fitnah difailkan oleh Anwar pada 7 Mac 2008 mendakwa Khairy telah mengeluarkan kata-kata fitnah yang kemudiannya disebar ke laman sosial termasuk diterbitkan dalam portal Malaysiakini.

 

“Tapi pembangkang ini saudara-mara mungkin Datuk Norza tahu istilah ini pembangkang ini dia kahwin muta’ah… Kahwin muta’ah ini saudara-saudara, mazhab Syiah dia mangamalkan kahwin muta’ah. Dia kahwin satu malam, dia main malam tu, esok hari dia cerai, untuk menghalalkan maksiat.

 

“Parti pembangkang ini dia kahwin muta’ah… dia kahwin PAS main DAP ikut kiri, DAP main PAS ikut kanan, Anwar main dua-dua ikut belakang… lepas tu… bila kalah dia cerai.

 

“Ini bukan untuk masa depan kita saudara-saudara.” kata Khairy sewaktu ceramah berkenaan yang membawa kepada tindakan saman oleh Anwar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.