Anwar Mahu Gulingkan Dr Mahathir Sejak 1998, Kata Saksi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merancang untuk menggulingkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1998.

 

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Lokman Noor Adam, 43, berkata rancangan Anwar itu dimaklumkan setiausaha politiknya, Mohamad Ezam Mohd Nor ketika mereka berjumpa di sebuah hotel di Batu Pahat, Johor Bahru, pada tahun berkenaan.

 

“Pada waktu itu, Ezam ada memberitahu saya dan 2 orang lagi mengenai rancangan Anwar dan turut memaklumkan Anwar yang ketika itu menyandang jawatan sebagai timbalan perdana menteri tidak boleh bekerjasama dengan Mahathir.

 

“Ezam memaklumkan Anwar sudah tidak boleh tahan dengan Mahathir dan tidak bersetuju dengan dasar ekonomi dan politik yang dibawa Mahathir,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

 

Lokman merupakan saksi keempat defendan yang memberi keterangan pada hari kedua pendengaran kes saman fitnah RM100 juta difailkan Anwar terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

 

Lokman, yang merupakan exco Pemuda Umno Malaysia berkata Ezam pernah memujuknya untuk menjadi sebahagian daripada rancangan Anwar untuk menjadi presiden Umno.

 

Saksi keempat itu berkata beliau ada berjumpa dengan seorang pegawai khas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika itu (1998) untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya sama ada Anwar mempunyai rancangan untuk ‘menikam belakang’ Dr Mahathir ataupun ia rancangan Ezam.

 

Lokman berkata rancangan Anwar itu disahkan pegawai khas kepada Zahid.

 

Lokman turut memaklumkan kepada mahkamah beliau berada di kediaman rasmi Anwar pada 2 September 1998 semasa 3 polis menyerahkan surat kepada Anwar berhubung pemecatan jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

 

“Saya katakan beliau (Anwar) dipecat kerana usahanya untuk menggulingkan Mahathir,” katanya.

 

Lokman berkata beliau juga dipecat sebagai ahli Umno pada 6 Oktober 1998 selepas Anwar dipecat daripada jawatannya itu pada 2 September 1998.

 

“Selepas itu, saya masuk PKR dan pernah dilantik sebagai setiausaha Pemuda PKR tetapi digugurkan daripada parti itu pada 2004 selepas mengkritik kepimpinan parti itu,” katanya yang turut memaklumkan Anwar adalah idolanya sebelum ini.

 

Pendengaran kes saman di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan bersambung Khamis.

 

Khairy turut hadir di mahkamah hari ini. Beliau yang merupakan saksi defendan pertama selesai memberi keterangannya semalam.

 

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman fitnah itu dengan mendakwa Khairy, yang ketika itu naib ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari 2008.

 

Katanya, perkataan fitnah dan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di laman web, termasuk dalam portal Malaysiakini.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.