Adik Haron Din Tergelak Imbas Kenangan Bersama Abangnya

KUALA LUMPUR – “Oh, ini gambar 3-4 tahun lepas,” kata adik kepada Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang sempat tergelak melihat gambar kenangan bersama abangnya, beberapa tahun lalu.

 

Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz yang tergelak kecil ketika memegang gambar kenangan membonceng basikal bersama abangnya itu berkata, gambar tersebut diambil ketika majlis allahyarham hadiri untuk membina Masjid baharu di Perlis.

 

“Larat juga dia bawa saya naik basikal. Cuma kena tukar gear rendah, maklumlah, adiknya lebih berisi,” katanya.

 

Walaupun masih bersedih dengan pemergian Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang menghadap Ilahi, namun, ketenangan jelas terpancar di wajah Hassan, kata Muhammad Syafiq Azman yang berkongsi siri temuramah bersama tokoh agama tersebut menerusi akaun Facebooknya.

 

Kata Hassan, keluarganya menerima pemergian arwah dalam keadaan tenang.

 

“Kami dapat berita kematiannya pada pagi itu, di sana (San Francisco) hari Khamis sudah masuk waktu Maghrib. Maksudnya sudah masuk malam Jumaat. Kata nabi, sesiapa yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat, akan terlepas seksa kubur.

 

“Lihat sahaja di Malaysia, berapa ramai yang solat jenazah ghaib dan doakan dia? Insya Allah, dia lebih baik di sana (alam barzakh),” ujarnya sambil tersenyum.

 

Terdahulu, Dr Haron meninggal dunia selepas dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas menghadapi masalah jantung di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Stanford San Francisco, California.

 

Allahyarham Datuk Dr. Haron Din selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California, Amerika Syarikat (AS).

 

Anak Allahyarham, Dr. Huda Haron memaklumkan jenazah Allahyarham dikebumikan pada pukul 5.57 petang waktu tempatan (8.57 pagi waktu Malaysia). – SuaraTV

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.