Sokong PM Bersyarat Tak Sah, Jika Ditarik Balik Kerajaan Runtuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sokongan bersyarat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan partinya Perikatan Nasional (PN) terhadap calon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri boleh ditarik balik dan meruntuhkan kerajaan,” kata Datuk A. Kadir Jasin.

Tokoh Wartawan Nasional itu memberitahu, sokongan bersyarat Pengerusi PN itu bererti ia boleh ditarik balik dan Perdana Menteri yang beliau sokong mungkin jatuh.

Semalam Muhyiddin berkata, PN bersetuju mencalonkan Ismail Sabri, sebagai Perdana Menteri yang baru dengan syarat, pelantikan Kabinet yang dibentuk kelak adalah dalam kalangan mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Senada dengan A. Kadir, bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Kata Ambiga, sokongan bersyarat PN kepada Ahli Parlimen Bera untuk dilantik sebagai Perdana Menteri tidak boleh dianggap sah.

Ujarnya, sokongan ahli Parlimen untuk Perdana Menteri mesti dilakukan tanpa syarat.

“Sokongan bersyarat oleh (PN) tidak boleh dikira sebagai sokongan […] Bagaimana kerajaan boleh stabil jika syarat untuk mendapat sokongan tidak dipenuhi?” katanya dalam satu siri catatan di Twitter hari ini.

Ambiga juga berkongsi ciapan dari netizen lain yang menunjukkan surat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun yang menjelaskan syarat ditetapkan Istana Negara berhubung bentuk surat yang perlu ditulis ahli-ahli Parlimen.

Antara lain, Item 4 (c) surat tersebut meminta ahli parlimen menyatakan identifikasi yang secukupnya seorang sahaja ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan, penyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Ambiga mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin semalam bahawa sokongan daripada 50 ahli Parlimen gabungan itu kepada calon Perdana Menteri, Ismail Sabri adalah bersyarat .

Muhyiddin berkata Naib Presiden UMNO itu mesti memastikan anggota kabinetnya terdiri daripada individu yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah.

Selain itu, Muhyiddin berkata Ismail Sabri juga mesti meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berpelembagaan

Sementara itu, beberapa anggota parlimen juga sependapat dengan Ambiga.

Antaranya Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, yang mendakwa PN membohongi Yang di-Pertuan Agong berhubung sokongan mereka terhadap Ismail Sabri.

Jelas Mahfuz, sekiranya Ismail terpilih sebagai perdana menteri dan kerajaan yang bakal dibentuk dalam suasana tidak stabil dan aman, kemelut politik Malaysia akan kembali berulang.

“Oleh itu, satu proses baru perlu dicari oleh YDPA bagi menjamin PM (perdana menteri) yang dilantik nanti adalah daripada seorang yang tidak takut dengan peras ugut politik dalaman seperti yang berlaku dan tidak terikat dengan kepentingan politik parti sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata sokongan ahli Parlimen untuk calon perdana menteri mestilah muktamad dan konklusif.

Katanya, dalam undang undang kontrak, jika ada mana-mana klausa yang mengandungi kata-kata seperti “tertakluk kepada”, ia sebuah kontrak yang belum lagi bersifat muktamad dan tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Oleh itu katanya, kehendak Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja betul dari segi undang-undang dan Perlembagaan, tetapi ia juga amat logik.

“Bagaimanakah Yang Dipertuan Agong boleh melaksanakan tugas dan fungsi perlembagaannya seandainya sesuatu sokongan itu mengandung unsur-unsur tidak jelas seperti ia sokongan bersyarat dan tidak muktamad seperti boleh dilihat dalam kenyataan media rasmi Muhyiddin.

“Dalam konteks parti politik dan sistem whip yang diamalkan sekarang, sokongan para Ahli Parlimen itu tidak boleh lari dari arahan pemimpin tertingginya.

“Dalam konteks kes ini, kenyataan media Muhyiddin sebagai Pengerusi Bersatu dan Perikatan Nasional itu sudah tentu mengikat paling kurang seluruh Ahli Parlimen Bersatu, jika pun diandaikan tidak mengikat para Ahli Parlimen parti-parti lain dalam Perikatan Nasional, ”katanya dalam kenyataan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat