KUALA LUMPUR: Lagu ciptaan Naim Daniel yang sepatutnya dirakam Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, bakal diserahkan kepada penyanyi lain.
Naim berkata, suami Allahyarham Siti Sarah, Shuib Sepahtu dan Syarikat Indigital Music sudah memberi lampu hijau agar lagu berkenaan diberi kepada penyanyi yang difikirkan sesuai mendendangkannya.

“Cuma buat masa sekarang, biarlah reda dahulu. Apabila semua sudah okay, saya akan berbincang semula dengan Shuib berhubung tindakan selanjutnya,” katanya kepada BH Online.
Naim atau nama penuh, Muhammad Naim Daniel Baharin meletakkan keputusan penuh kepada Shuib dalam membuat keputusan penyanyi paling sesuai mendendangkan lagu berkenaan.
“Lagu itu saya cipta khusus untuk arwah Siti Sarah. Namun, apa sahaja keputusan dibuat selepas ini, saya terbuka.
“Semestinya, saya secara peribadi ada pilihan penyanyi yang difikirkan sesuai dan layak memberi roh kepada lagu berkenaan.
“Malah, melalui perbincangan sebelum ini, saya dan Shuib bersetuju menyerahkan lagu berkenaan kepada penyanyi tertentu,” katanya.
Baru-baru ini, Naim mendedahkan Allahyarham Siti Sarah meminta penyanyi dan komposer itu mencipta lagu untuknya, beberapa bulan selepas diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 menerusi lagu Sumpah, tahun lalu.
Melalui hantaran di Instagram (IG), Naim berkongsi coretan dan paparan skrin perbualan dalam mesej peribadi bersama arwah Siti Sarah mengenai permintaan menghasilkan lagu balada itu.
Pada 9 Ogos lalu, Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 5.13 pagi, akibat COVID-19.
Berita Harian