KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan AbdullahRi’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu sepakat berkenan mengangkat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Bagida bertitah, berdasarkan surat-surat akuan yang dipersembahkan daripada seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ahli Parlimen Bera memiliki jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Menurut kenyataan Istana Negara yang disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Ismail Sabri untuk Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.
“Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk
mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah telah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada petang Jumaat.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikanPerdana Menteri ini, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik
dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.
“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi
akibat pandemik COVID-19. Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan,komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujar Ahmad Fadil.
Dalam pada itu, katanya, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.
“Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.