Pelabur Asing Tarik Keluar RM631.4 Juta Nilai Pelaburan Minggu Lepas – MIDF Research

KUALA LUMPUR – Selepas dua minggu berturut-turut pasaran berlaku aliran masuk oleh pelabur-pelabur asing, minggu lalu menyaksikan aliran keluar wang semula.

MIDF Research berkata, sejumlah RM631.4 juta dana asing dibawa keluar dari ekuiti tempatan pada minggu lalu berbanding aliran masuk sebanyak RM458.2 juta pada minggu sebelumnya.

Pelabur asing melupuskan sejumlah RM142.3 juta pada hari Isnin berikutan krisis di Turki yang turut merentasi pasaran-pasaran baru muncul termasuk Malaysia.

Firma penyelidikan itu berkata, pendedahan bursa-bursa tempatan ke atas Turki bukan mengejutkan memandangkan saham Malaysia Airports Holdings dan IHH Healthcare merekodkan penyusutan lebih daripada 5 peratus pada hari tersebut.

Bagaimanapun, aliran keluar asing perlahan pada hari Selasa dan Rabu, masing-masing kepada RM127.1 juta dan RM85.4 juta selepas mata wang lira Turki melantun semula pada hari Selasa, selepas menjunam sehari sebelum itu.

Bagaimanapun, aktiviti jualan bersih asing secara beransur-ansur meluas pada Khamis dan Jumaat, masing-masing kepada RM127.9 juta dan RM148.7 juta selepas berita mengenai China dan Amerika Syarikat akan mengadakan perbincangan perdagangan pada akhir bulan Ogos, tidak merangsang suasana berisiko selepas pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua tahun ini 4.5 peratus, lebih rendah daripada jangkaan 5.2 peratus.

Sepanjang bulan ini, aliran bersih keluar pelabur asing berjumlah RM128.6 juta.

Untuk tahun ini pula, aliran keluar merekodkan sejumlah RM8.6 bilion, tempat kedua terendah dalam kalangan pasaran empat negara ASEAN, kata MIDF Research.

Penyertaan pelabur-pelabur asing masih lagi aktif dengan nilai purata dagangan harian (ADTV) melepasi RM1 bilion bagi 31 daripada 33 minggu.

ADTV bagi pasaran runcit dan dana institusi tempatan kekal baik, masing-masing melebihi RM800 juta dan RM2 bilion meskipun susut minggu lalu. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.