Ahli Parlimen PKR Persoal Kesetiaan Azmin Kepada Anwar

KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan yang bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PKR mempersoalkan kesetiaan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesavan berkata, beliau juga tidak yakin sama ada Azmin yang akan mempertahankan jawatannya benar-benar mahu Ketua Umum PKR itu dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ini kerana katanya, sehingga kini Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak menyatakan sokongannya terhadap Anwar untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya kurang yakin dengan Azmin kerana sehingga ke hari ini dia belum menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya pada program debat sempena Majlis Makan Malam dan Pelancaran Tabung Reformasi 20 Tahun PKR, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berdepan dengan Azmin bagi merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu.

Kesavan berkata, atas sebab itu, ahli PKR termasuk di Sabah perlu menyokong perubahan kepemimpinan parti dengan memberi kemenangan kepada Rafizi sebagai Timbalan Presiden.

“Kita tidak mahu seorang pemimpin yang kelihatan setia tetapi secara diam-diam cuba menggagalkan agenda reformasi parti untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Sebab itu kita perlu sokong Rafizi sebagai Timbalan Presiden, iaitu untuk memastikan bahawa agenda ini dan Anwar sebagai Perdana Menteri dapat menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang turut bertanding jawatan Naib Presiden PKR, sekali lagi menyatakan keterbukaannya untuk mengosongkan kerusi Parlimen Selayang bagi memberi laluan kepada Anwar.

“Anwar lebih penting berbanding saya sebab itu saya tiada masalah beri laluan kepadanya… bagi saya semua Ahli Parlimen PKR yang berpegang kepada semangat reformasi parti tiada masalah untuk memberi laluan kerana yang penting Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan.

“Bagaimana kita kata setia kepada parti tapi enggan beri laluan. Isu sokongan rakyat tidak timbul kerana rakyat Selayang akan bangga kalau Ahli Parlimen mereka nanti adalah Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut menyangkal tuduhan kononnya menjadi mangsa Anwar kerana terpaksa memberi laluan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat selepas sah memenangi jawatan presiden parti, sebaliknya menjelaskan bahawa mangsa sebenar adalah Ketua Umum PKR itu kerana perlu memikul tugas besar sebagai Perdana Menteri selepas ini. – BH

One thought on “Ahli Parlimen PKR Persoal Kesetiaan Azmin Kepada Anwar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.