Hutang Asyik Jadi Modal Sejak Dulu Lagi

JITRA – Isu hutang negara masih dijadikan modal politik pembangkang untuk menakutkan rakyat.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, rakyat sering dimomokkan, dengan mengatakan mereka akan menanggung beban hutang negara yang digambarkan begitu besar dan berat.

“Cerita mengenai hutang negara, saya dengar sejak jadi setiausaha politik menteri dan perdana menteri sejak 1970-an.

“Hujah-hujah mengenai hutang negara sudah dibangkitkan di negeri ada orang Pas lagi, masa itu belum ada Parti Melayu Semangat 46, PKR apatah lagi Bersatu,” katanya pada perasmian Mesyuarat Bahagian Umno Kubang Pasu di Institut Perguruan Darul Aman (IPDA), semalam.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom dan bekas Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Tan Sri Osman Aroff.

Menurutnya, minda pemimpin politik pembangkang tidak pernah berubah walaupun negara sudah jauh maju ke hadapan.

“Kenapa hanya disebutkan berapa hutang ditanggung rakyat, tetapi peratusan perbandingan dengan pendapatan negara. Contohnya kepada orang biasa, apabila pendapatan bertambah, mungkin pinjaman bertambah untuk tujuan pembesaran rumah dan sebagainya. Kaedah sama diguna pakai dalam negara.

“Berbanding dengan hujah politik negara maju, tidak ada membangkitkan mengenai hutang negara mereka, sedangkan mereka mempunyai hutang lebih besar daripada hutang dipikul kerajaan kita,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan ahli Umno dan kepimpinan parti di peringkat akar umbi adalah ‘hero’ yang terus berjuang demi menjaga amanah parti kepada agama, masyarakat, bangsa serta negara.

“Saya tidak mahu apa-apa kejayaan yang dicapai mana-mana individu selama ini dilihat sebagai kejayaan peribadi, sebaliknya menyifatkan kejayaan itu datangnya daripada kekuatan ahli Umno akar umbi,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.