Bilangan Jemaah Haji Guna Khidmat Agensi Pelancongan Swasta Meningkat

BILANGAN jemaah haji yang menggunakan khidmat agensi pelancongan swasta pada musim haji kali ini meningkat lebih sekali ganda berbanding musim haji lalu.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH) Mat Admara Alang Azizdin berkata, ia mungkin disebabkan tindakan tegas Lembaga Tabung Haji (TH) yang tidak memperbaharui lesen agensi swasta yang bermasalah.

Beliau berkata, apabila agensi bermasalah itu tidak lagi diberikan lesen, keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan syarikat yang masih beroperasi turut meningkat.

Menurutnya, pada musim haji kali ini, 5,021 jemaah berdaftar untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu menggunakan syarikat pengendali swasta.

Pada musim haji 2016, 2,300 jemaah menggunakan perkhidmatan agensi swasta untuk menunaikan ibadat haji.

Katanya, pada musim haji kali ini, pakej paling mahal ditawarkan agensi swasta berharga RM160,000 bagi seorang jemaah.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya 19 syarikat termasuk TH Travel & Services Sdn Bhd yang diberikan lesen oleh TH untuk menawarkan pakej haji berbanding lebih 30 syarikat sebelum ini.

“Kita tidak berkompromi dengan agensi berlesen yang gagal menyediakan perkhidmatan atau kemudahan seperti yang dijanjikan dengan jemaah.

“Jika terbukti mereka gagal berbuat demikian, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

“Ini termasuk amaran bertulis dan denda kewangan bagi kesalahan tidak begitu serius manakala bagi kesalahan besar, lesen akan ditarik balik.

“Setakat ini, belum ada syarikat yang ditarik lesen dibenarkan untuk beroperasi semula,” katanya pada sidang media di ibu pejabat TH di sini.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai pasukan khas yang akan memantau perkhidmatan dan kemudahan disediakan agensi berkenaan di Tanah Suci.

“Pasukan ini akan memeriksa setiap kemudahan dan perkhidmatan disediakan sama ada seperti dijanjikan atau sebaliknya dengan mengisi borang khas sistem penilaian.

“Setiap kesalahan dilakukan akan dipotong markah menggunakan sistem demerit dan syarikat yang tidak mencapai piawaian ditetapkan berdepan tindakan termasuk lesennya tidak diperbaharui.

“Misalnya, jika jarak hotel dengan Masjidilharam seperti dijanjikan 300 meter, kita akan ukur, betul atau tidak. Pernah ada syarikat ditarik balik lesen kerana menipu jarak selepas kita mengukurnya,” katanya.

Menurutnya, jemaah yang mahu membuat aduan berkaitan agensi pengendali itu diminta berbuat demikian ketika masih di Tanah Suci.

“Aduan perlu dibuat secara bertulis sebelum disiasat dan jemaah perlu membuatnya ketika masih di Tanah Suci dan jangan menunggu sehingga pulang.

“Ini bagi memberi keadilan kepada semua pihak iaitu pengadu dan agensi kerana kita boleh terus membuat siasatan dan mendapatkan bukti, seterusnya mengambil tindakan segera.

“Bagaimanapun, kita nasihatkan jemaah haji pakej swasta ini, jika ada masalah cuba selesaikan dulu dengan syarikat berkaitan,” katanya.- Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.