Remaja Malaysia Sertai IS Kerana Mahu Hapus Dosa – Menteri

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Datuk Joseph Kurup berkata ibu bapa perlu memantau perilaku anak mereka kerana remaja yang mempunyai masalah sosial didapati cenderung terpengaruh dengan fahaman IS.

 

Joseph berkata ini kerana remaja terbabit menganggap penyertaan dalam kumpulan militan itu adalah penyelesaian dan menghapus dosa lampau mereka.

 

Katanya, jika ancaman IS tidak dibendung termasuk dalam kalangan remaja, dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada keselamatan rakyat.

 

“Ibu bapa perlu memantau anak remaja secara berterusan supaya mereka tidak terpengaruh dengan fahaman mengelirukan.

 

“Dunia kini sedang berdepan dengan ancaman gerakan kumpulan militan IS yang menggunakan nama negara Islam sebagai topeng perjuangan mereka.

 

“Kumpulan militan IS kini menjadikan golongan remaja sebagai sasaran unutk menyertai gerakan di Syria,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Minggu Perpaduan Wilayah Persekutuan 2016, di sini hari ini.

 

Pada masa sama, katanya perpaduan perlu menjadi tonggak utama dalam hubungan antara kaum dan generasi muda harus menjiwai semangat perpaduan yang menjadi benteng pertahanan negara.

 

Sementara itu, Joseph berkata masyarakat diminta memperkukuhkan keharmonian masyarakat di Malaysia dengan melaksanakan pelbagai program.

 

“Sebanyak 296 kawasan rukun tetangga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur aktif menjalankan 671 aktiviti yang menjurus kepada matlamat mengukuhkan perpaduan,” katanya.

 

Katanya, seramai 119 mediator komuniti terlatih diberi peranan untuk menyelesaikan isu yang boleh ditangani di peringkat masyarakat.

 

Pengukuhan perpaduan memerlukan penglibatan semua pihak termasuk pengamal media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.