Mohd. Azizulhasni, 28, berkata, beliau telah mengenal pasti beberapa pelumba pelapis berbasikal berbakat dan berharap kejayaannya meraih gangsa Olimpik di Brazil dapat menyuntik semangat dan menjadi inspirasi kepada mereka.

 

“Saya ingin menjadi mentor kepada mereka dan menurunkan sebanyak mana ilmu yang mungkin kerana saya tahu saya pun tidak boleh berkayuh selama-lamanya. Pada satu tahap, saya perlu berhenti dan back off (berundur).

 

“Sebelum saya back off saya nak tengok pelumba yang meneruskan legasi kita,” katanya pada sidang media sebelum menyertai ‘fun ride’ sejauh 20 kilometer (km) bersama 200 peserta di City of Elmina di sini hari ini.

 

Turut hadir Pengarah Urusan Sime Darby Property Berhad, Datuk Ir Jauhari Hamidi, pelumba wanita pertama negara, Fatehah Mustapa dan jurulatih Mohd. Azizulhasni, John Beasley.

 

Di Olimpik Rio, Mohd. Azizulhasni menamatkan perlumbaan acara keirin di belakang Jason Kenny dari Britain yang memenangi emas dan pelumba Belanda, Matthijs Buchli yang memperoleh perak.

 

Dalam pada itu, anak kelahiran Terengganu itu berkata fokus beliau sekarang ialah kilauan emas di Tokyo 2020. -Bernama