Wan Zack Haikal Tekad Balas Kepercayaan Dollah

Petaling Jaya – Pemain sayap Kelantan, Wan Zack Haikal Wan Nor bertekad membalas kepercayaan diberikan pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh dengan menampilkan prestasi mantap pada aksi persahabatan berdepan Bangladesh di Stadium Shah Alam, 29 Ogos ini.

 

Sambil berterima kasih kepada Dollah kerana mempercayai kudratnya, anak jati Maran, Pahang itu mahu membuktikan bahawa beliau masih mempunyai sentuhan berbisa, sebagaimana dipamerkan ketika skuad Harimau Malaya dibimbing Datuk K. Rajagobal.

 

Kali terakhir beliau menyarung jersi negara adalah pada Mac lepas, yang menyaksikan Malaysia diaibkan 0-6 pada aksi persahabatan menentang Oman di tempat lawan.

 

“Saya amat teruja kembali menyarung jersi skuad Harimau Malaya dan berharap saya dapat melakukan sesuatu untuk pasukan negara pada kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tayangan perdana filem Jejak Warriors di Cathay Cineplex, eCurve, di sini hari ini.

 

“Saya tidak pernah berkecil hati kerana tidak dipanggil oleh jurulatih (Dollah) untuk menyarung jersi skuad kebangsaan selepas kali terakhir menentang Oman sebelum ini, kerana itu hak jurulatih,” kata Wan Zack Haikal.

 

Dalam pada itu, beliau menggesa rakan sepasukannya untuk melakar kemenangan ke atas Sarawak pada aksi terakhir Liga Super 2015 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Baharu, Sabtu ini sebagai pembakar semangat bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang bermula bulan depan.

 

Kelantan kini menduduki tangga kesembilan daripada 12 pasukan dalam carta Liga Super, dengan kutipan 25 mata selepas beraksi dalam 21 perlawanan.

 

Berkongsi pandangan sama adalah penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang melihat persaingan merebut posisi berkenaan adalah sengit dengan kehadiran penjaga gol Pahang, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid dan Zamir Selamat dari Perak.

 

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan rakan sepasukan dalam skuad Harimau Malaya untuk tidak memandang mudah keupayaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi pada aksi peringkat kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019.

 

Malaysia bakal berkunjung ke Abu Dhabi, UAE pada 3 Sept ini sebelum berdepan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, lima hari kemudian.

 

“Saya perlu membuktikan kepada jurulatih khidmat saya masih diperlukan. Kami bertiga mempunyai kelebihan masing-masing dan pemilihan akhir pemain terletak di tangan jurulatih.

 

“Kita tahu dua pasukan ini (UAE dan Arab Saudi) agak hebat, jadi kita kena buat persiapan mental dan fizikal sepenuhnya terutama aksi di tempat lawan menentang UAE pada 3 Sept,” kata Khairul Fahmi yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Apek’ dalam kalangan rakan sepasukan.

 

Filem Jejak Warriors yang diterbitkan oleh syarikat U2 Media Sdn Bhd dan bakal ditayangkan bermula 27 Ogos ini, dibintangi beberapa pelakon terkenal tempatan antaranya Pekin Ibrahim dan Nadiya Nissa selain beberapa pemain Kelantan seperti Wan Zack Haikal, Khairul Fahmi, Mohd Fitri Omar, Ahmad Fakri Saarani dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

 

Filem arahan pengarah tersohor tanah air, Saw Teong Hin itu mengisahkan mengenai pengembaraan seorang peminat Kelantan, Wan Raja lakonan Mohd Aliff Firdaus yang terpaksa menempuh pelbagai dugaan demi bertemu dengan pemain pasukan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.