Video: Penyokong Perak Koyak Dahi

Ipoh – Seorang penyokong Perak cedera selepas bas yang membawa penyokong The Boss Gaurus dibaling dengan besi oleh sekumpulan individu di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berdekatan Machap, Johor, semalam.

 

Wakil penyokong Arfaeez Abd Rahman, 25, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, ketiga-tiga bas yang membawa 118 penyokong itu baru bertolak dari Stadium Larkin di Johor untuk pulang ke Ipoh.

 

Beliau mendakwa, mereka menyedari diekori sekumpulan individu menaiki kereta serta motosikal sebelum dibaling dengan pelbagai objek.

 

Dakwanya lagi, sebaik memasuki lebuh raya, sudah terdapat kumpulan lain yang menaiki kereta serta motosikal turut menunggu di setiap persimpangan dan membaling pelbagai objek seperti batu, besi dan kayu.

 

“Bila tiba je di persimpangan Machap, satu besi dibaling dan terkena cermin hadapan bas dan masuk ke dalam bas serta terkan salah seorang penyokong mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di dahi.

 

“Kami terpaksa minta bantuan polis untuk iring kami sebelum memberhentikan bas di tepi lebuh raya, dan untuk ambulans bawa mangsa ke hospital,” katanya dalam sidang media yang diadakan sebaik tiba di Stadium Perak di Ipoh, sebentar tadi.

 

Arfaeez berkata, mangsa dibawa ke Hospital Melaka dan menerima 15 jahitan di dahi sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

 

Menurutnya, ketiga-tiga bas turut mengalami kerosakan selepas beberapa bahagian bas seperti cermin depan, belakang serta sisi dan bahagian pintu pecah akibat dibaling dengan pelbagai objek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.