Tunggu Duit Tapi Polis Yang Sampai

Shah Alam – Cubaan empat lelaki memeras ugut pekerja pemasangan kabel sebuah syarikat telekomunikasi gagal selepas diberkas polis di Seksyen 17 di sini, awal pagi semalam.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dua pekerja sedang memasang kabel sebelum dihampiri empat lelaki yang menaiki kereta jenis Honda Civic.

 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek memeras ugut mangsa untuk menyerahkan wang RM1,000 sekiranya mahu meneruskan kerja.

 

Menurutnya, mangsa bertindak bijak dengan menghubungi polis dengan berpura-pura menyatakan kepada suspek mereka menghubungi majikan untuk mendapatkan wang.

 

“Polis tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan dan menahan empat suspek di tempat kejadian.

 

“Pemeriksaan di tempat kejadian menemui peralatan samun, beberapa telefon bimbit dan satu set spanar pelbagai jenis,” katanya.

 

Menurutnya, projek pemasangan kabel tersebut telah dijalankan sejak bulan lalu dan salah seorang suspek pernah memeras ugut mangsa sebelum ini.

 

Shafien berkata, semua suspek berusia 29 hingga 32 tahun itu positif dadah dipercayai syabu.

 

Menurutnya, semua suspek mempunyai 13 rekod lampu membabitkan kes dadah dan jenayah.

 

Semua suspek ditahan reman untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.