Sabhi Saddi Berbaju Longgar Elak Dipanggil ‘Sado’

Kuala Lumpur – Ramai golongan lelaki termasuk dalam kalangan selebriti kini semakin obses mendapatkan badan sasa atau dalam istilah popular ketika ini, sado, semakin mendapat perhatian.

 

Artis lelaki juga percaya mempunyai bentuk tubuh menarik mampu membuka peluang pada mereka menerima pelbagai tawaran kerja.

 

Malah, segelintir berbadan ‘sado’ juga percaya bentuk badan menarik menjadi aset penting untuk menjadi artis.

 

Bagaimanapun, penyanyi Sabhi Saddi meluahkan rasa kurang selesa kerana sejak akhir-akhir ini dia dikenali dengan panggilan Sabhi sado.

 

Justeru, bagi mengelak daripada panggilan itu terus ‘melekat’, Sabhi lebih selesa tampil dengan imej penampilan baju longgar dan besar.

 

“Sekarang ini ramai pula yang panggil saya Sabhi ‘Sado’. Nama ayah saya Sadhi,” katanya sambil tertawa.

 

“Sebenarnya, saya tidak mahu orang kenal saya sebagai Sabhi Sado, saya kurang selesa dengan panggilan macam tu.

 

“Sebab itu saya lebih suka pakai baju longgar dan besar lagipun baju-baju saya banyak yang sudah ketat,” katanya kepada Malaysian Digest.

 

Pun begitu, pelantun lagu Cinta Sesungguhnya ini mengakui sesekali dia suka berkongsi gambarnya tanpa berbaju di Instagram (IG).

 

Bukan bertujuan mahu menunjuk-nunjuk tetapi sebagai motivasi untuk dirinya sendiri.

 

“Kadang-kadang saya ada muat naik di IG gambar saya tayang badan tapi bukanlah mahu menunjuk-nunjuk tetapi ia sebagai motivasi untuk diri saya sendiri,” katanya.

 

Mengenai perkembangan karier, selain dunia nyanyian dan lakonan, Sabhi berkata, dia sedang dalam perancangan memulakan perniagaan pakaian jubah.

 

Meskipun menyedari saingan terhadap perniagaan jubah kini agak sengit memandang ramai selebriti juga memilih memasarkan jenama sendiri, idea untuk menceburi perniagaan tersebut timbul selepas ramai pihak yang memberikan galakkan.

 

“Saya berhasrat mula pasarkan koleksi jubah jenama saya sendiri. Sebenarnya, ideal nak jual jubah timbul apabila ramai yang bertanya bila saya hendak keluarkan jubah sendiri.

 

“Rekaan jubah saya sangat ringkas dan mengikut sunah cuma saya mainkan dengan pilihan warna tapi itu pun hanya beberapa jenis warna saja.

 

“Walaupun sekarang ramai juga orang menjual jubah tetapi saya yakin masing-masing punya citarasa sendiri.

 

Sementara itu, diajak berkongsi tentang keluarga, Sabhi menyatakan dia bersyukur kerana dikurniakan isteri, Rosi Aswani Abdul Razak dan anak-anak yang sentiasa menjadi semangat untuknya meneruskan karier baik nyanyian juga lakonan.

 

Meluahkan teringin menimang lagi cahaya mata, Sabhi menyatakan dia berasa kasihan kepada Rosi memandang isterinya sibuk menguruskan keluarga sepenuh masa

 

“Nak juga tambah anak tapi kasihan pula pada isteri saya. Hidup dia hanya di rumah dan menjaga anak-anak sampaikan kadang-kadang saya mahu ajak dia teman saya ke acara hiburan, dia akan memikirkan tentang anak-anak kerana bimbang tiada siapa yang akan menjaga mereka.

 

“Jadi, buat masa ini tunggu dululah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.