Penyokong Perak Cedera Dibaling Besi

IPOH – Seorang penyokong pasukan bola sepak Perak cedera parah di dahi akibat terkena sebatang besi yang dibaling ke arah bas yang dinaikinya sewaktu pulang dari menyaksikan perlawanan Liga Super di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak semalam.

 

Penyokong tersebut, Mohamad Aiman Syafiq, 18, dari Manjoi di sini, terpaksa menerima 15 jahitan apabila besi yang dibaling dari sebuah kereta menembusi cermin bas dalam kejadian pada kira-kira pukul 12.30 malam di Lebuh Raya Utara Selatan.

 

Wakil penyokong pasukan Perak, Arfaeez Abd Rahman, 25, berkata, mangsa dirawat di Hospital Melaka dan difahamkan sudah dibenarkan pulang.

 

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Abd. Aziz Yob Jamaluddin melahirkan rasa duka cita ekoran insiden tersebut.

 

Menurutnya, Pafa kesal kerana penyokong yang tidak berdosa menjadi mangsa perbuatan dipercayai penyokong JDT.

 

“Ini mungkin perbuatan membalas dendam ekoran siri kekecohan penyokong yang berlaku dalam perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.