Pengeboman Bangkok: ATM Diletakkan Dalam Keadaan Berjaga-Jaga

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengambil langkah berjaga-jaga supaya insiden pengeboman di Bangkok, Thailand kelmarin tidak berlaku di negara ini.

 

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, pihak nya juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi kerajaan lain untuk meningkatkan keselamatan negara.

 

Malah katanya, masyarakat juga perlu seiring dalam usaha meningkatkan keselamatan negara dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berlaku di kawasan sekitar mereka.

 

“Insiden sebegini hanya memerlukan beberapa pihak yang berniat untuk mensabotaj negara. Oleh itu, kita tidak boleh mengamalkan sikap sambil lewa dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan yang dikecapi.

 

“Walaupun Thailand sudah mengambil langkah keselamatan, perkara sebegini tetap terjadi. ATM juga tidak boleh menjamin 100 peratus perkara ini tidak akan terjadi, oleh itu kita memerlukan sokongan semua pihak. Laporkan gerak-geri individu tidak dikenali dan disyaki kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Tilawah al-Quran peringkat ATM ke-66 yang menyaksikan Pegawai Waran 1 Tentera Darat, Mohd. Nor Ahmad mengungguli kategori Qari dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta pakej umrah dan trofi.

 

Bagi kategori Pegawai, Kapten Mohd. Hamzani Mohamad dinobatkan sebagai juara manakala, kategori Qariah pula dimenangi Rabiatul Adawiyah Ismail dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi.

 

Dalam pada itu, Zulkifeli menegaskan, kawasan sempadan tanah air berada dalam keadaan selamat dan setakat ini, tiada ancaman yang dilihat boleh menggugat kestabilan di kawasan terbabit.

 

“Kita sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan keadaan sempadan negara seperti Thailand, Filipina serta Sabah dan Sarawak terkawal daripada kejadian tidak diingini,” katanya.

 

Menurutnya, ATM sentiasa berusaha meningkatkan aset dan kewaspadaan di sepanjang sempadan terutama di perairan Timur Sabah dengan dua pangkalan telah diatur gerak oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi tujuan keselamatan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.